PETALING JAYA – Sebanyak 50,000 pembantu rumah diperlukan segera di negara ini bagi menampung permintaan tinggi daripada majikan selepas Malaysia memasuki fasa peralihan ke endemik sejak 1 April lalu.
Ketika ini, pembantu rumah dalam kalangan wanita tempatan sendiri amat sukar dicari kerana mereka lebih rela menjadi suri rumah atau bekerja di kilang walaupun ditawarkan gaji lumayan sehingga mencecah RM3,000.
Presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (Papa), Datuk Foo Yong Hooi berkata, pihaknya memerlukan ramai amah bagi mengisi 50,000 kekosongan itu kerana orang ramai sudah mula bertugas di pejabat berbanding bekerja di rumah sebelum ini.
“Sekarang sudah ramai mula bekerja seperti biasa di pejabat, jadi ramai yang perlukan amah untuk menjaga ibu bapa yang sudah tua dan anak-anak di rumah serta membantu melakukan kerja-kerja pembersihan rumah, memasak dan lain-lain tugas.
“Sekarang ini boleh dikatakan keadaan amat mendesak untuk dapatkan segera pembantu rumah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurutnya, ada majikan yang sanggup meletakkan wang pendahuluan kepada agensi swasta yang menguruskan kemasukan pembantu rumah warga asing agar mereka mendapat segera pekerja dalam tempoh terdekat.
Katanya, kos untuk membawa masuk serta mengambil seorang pembantu rumah dari Indonesia dianggarkan tidak melebihi RM15,000, manakala Filipina RM14,000 hingga RM15,000.
“Jika isu pengambilan pembantu rumah tidak dapat diselesaikan segera, ia akan menjejaskan produktiviti pekerja negara ini,” ujarnya.
Jelasnya, antara punca utama masalah kekurangan pembantu rumah di negara ini disebabkan masih ramai amah warga asing sedang menunggu kelulusan untuk dibawa masuk ke Malaysia.
Kata beliau, pihaknya sendiri masih menunggu kelulusan pihak Jabatan Imigresen untuk membenarkan pembantu rumah warga asing masuk bagi mengisi kekosongan yang sedia ada.
“Kami berharap proses kelulusan di peringkat Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan juga proses Visa Dengan Rujukan (VDR) di Jabatan Imigresen dapat dipercepatkan,” ujarnya.

Menurutnya, Papa turut membuka peluang bekerja sebagai pembantu rumah kepada rakyat tempatan, namun sehingga kini tidak mendapat sambutan.
“Bagi rakyat tempatan, gaji ditawarkan oleh majikan mencecah RM3,000 sebulan berbanding warga Indonesia dan Filipina yang hanya sekitar RM1,500 hingga RM1,680, namun semua itu masih belum mampu menarik minat mereka.
“Orang tempatan ramai minat jadi suri rumah sahaja berbanding pembantu rumah, lagipun dalam sektor lain seperti perkilangan, ia masih disukai rakyat tempatan kita,” katanya.
Pada April lalu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan melaporkan, seramai 10,000 amah Indonesia akan menjadi kumpulan pertama masuk ke negara ini selepas Hari Raya Aidilfitri.
Kerajaan juga akan memperbaharui memorandum persefahaman dengan India dan berunding dengan Vietnam, Kemboja, Sri Lanka, Nepal dan Bangladesh bagi membawa masuk pembantu rumah ke Malaysia.














