fbpx
Berusahalah untuk berjaya dalam peperiksaan. – gambar hiasan

Usaha diperlukan selepas doa untuk berjaya dalam periksa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Pada musim peperiksaan, ramai pelajar dan ibu bapa berdoa agar diberikan kejayaan. Namun, jumlah cemerlang dalam peperiksaan hanya peratusan kecil. Tidakkah ini seakan menunjukkan Allah hanya menerima doa sebahagian kecil sahaja?

Jawapan:
Untuk menjadikan sesuatu doa itu diterima Allah, maka hendaklah kita mengikut cara berdoa yang sebenar yang diredai Allah untuk kita mengamalkannya. Allah telah menghantar rasul-Nya memberitahu kepada kita bagaimana cara berdoa. Ini semua dijelaskan dalam al-Quran dan al-Sunnah.
Para nabi juga berusaha untuk kejayaan perjuangan mereka, bukan sekadar berdoa memohon pertolongan Allah tanpa usaha.
Seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: “Apakah aku patut membiarkan untaku dan bertawakkal? Jawab Nabi SAW: “Ikatlah unta itu dan bertawakkal”. [Riwayat Ibn Hibban dalam sahihnya, al-Tirmizi dll. Al-Albani (Sahih Mawarid al-Zhamaan) dan Syu’aib al-Arnaut(Tahqiq Sahih Ibn Hibban) menilai hadis ini sebagai hasan].
Dalam peperiksaan, seseorang yang mahukan kejayaan hendaklah belajar sewajarnya, memenuhi keperluan sepatutnya serta berdoa kepada Allah.
Setelah kita jelas dua perkara di atas, hendaklah faham setiap doa yang dipohon kepada Allah pasti ada hasrat atau keinginan yang hendak diperoleh.
Apabila seseorang memohon daripada Allah agar dirinya ataupun anaknya ataupun sesiapa diberikan kejayaan dalam peperiksaan, dia sebenarnya bukan mahukan kejayaan dalam peperiksaan semata-mata, tetapi mahu dengan kejayaan itu berterusan.
Sudah pasti dia tidak mahu sekadar berjaya dalam peperiksaan, tetapi gagal dalam kehidupan seterusnya.
Ertinya, doa kejayaan dalam peperiksaan bermaksud agar dapat mengecapi kejayaan di masa hadapan.
Semasa keputusan peperiksaan diperoleh, kita sebenarnya belum tahu apa bakal terjadi di masa depan.
Betapa ramai orang cemerlang keputusan peperiksaannya, tetapi tidak cemerlang dalam kerjayanya. Ramai pula berjaya dalam peperiksaan, tetapi gagal dalam ujian kehidupan lain.
Bahkan ada yang mendapat kesusahan dalam hal-hal tidak disangka, akhirnya kecemerlangan peperiksaannya bagaikan tidak memberikan apa-apa makna.
Jadi, peperiksaan hanya salah satu sebab di dunia hari ini untuk seseorang melangkah ke hadapan dalam kerjanya.
Jika ada seseorang kurang berjaya dalam peperiksaan, dia ataupun ibu bapa yang berdoa tidak boleh membuat sangkaan atau kesimpulan bahawa doa mereka tidak mustajab.
Ini kerana, kemungkinan dia ataupun pihakyang didoakan itu tetap akan berjaya di masa depan dengan cara dikehendaki oleh Allah.
Allah berjanji akan memustajabkan doa. Pemustajaban doa itu boleh menjelma dalam pelbagai jalan dan cara.
Kejayaan pada masa depan boleh muncul dengan cara kita sangka dan tidak sangka.
Apa yang penting terus berdoa kepada Allah. Doa kita tidak sia-sia. Kadangkala Allah tukar doa kepada sesuatu lebih baik, ataupun selamatkan daripada bahaya yang mengancam kita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN