TUSCANY, Itali – Pelumba Ducati, Francesco Bagnaia mengakui dia terpaksa bekerja lebih keras untuk kembali dalam misi untuk memburu gelaran dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini.
Meskipun menjuarai Grand Prix (GP) Itali malam kelmarin, Bagnaia mengakui dia sering melakukan kesilapan apabila dua kali gagal menamatkan saingan di GP Qatar pada Mac dan GP Perancis dua minggu lalu.
Kegagalan tersebut menyebabkan Bagnaia ketinggalan 41 mata di belakang Fabio Quartararo yang mendahului carta kedudukan pelumba dengan 122 mata ketika ini dan Aleix Espargaro di tangga kedua (114 mata).
“Saya banyak melakukan kesilapan, jadi saya perlu menjadi lebih baik seperti jentera saya pada hari ini yang membuktikan dia mampu kembali ke podium.
“Pastinya pemburuan gelaran ketika ini semakin mencabar terutama Quartararo dan Espargaro tetapi perlu ingat Enea Bastianini (Ducati) juga antara yang mampu memberi tentangan apabila dia kini berada di tangga kedua keseluruhan dengan 94 mata.
“Perkara paling utama ialah saya kembali meraih mata dan berjaya menjuarai perlumbaan ini. Kemenangan ini sedikit sebanyak membantu membina keyakinan pasukan dan juga diri saya,” katanya.
Dalam pada itu, Bagnaia mengakui dia tidak tertekan, malah sentiasa positif untuk mendapatkan rentak terbaik bersama jenteranya.
“Tekanan sentiasa ada pada setiap perlumbaan, tetapi anda perlu menikmati setiap tentangan dan perkara paling utama adalah anda perlu bangkit mencari rentak kemenangan.
“Meskipun kegagalan lalu mampu membuatkan anda kecewa tetapi saya meletakkan perkara itu di sebelah untuk menjadi pembakar semangat untuk menaiki podium.
Saya akui menikmati kemenangan ini,” kata naib juara MotoGP musim lalu.
– AGENSI