SELEPAS mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk menaikkan tali, sekumpulan lelaki yang merupakan pemburu madu tualang mula melaksanakan tugas rutin mereka.
Sebaik berjaya ‘melastik’ tali ke arah dahan pokok tualang, seutas tali lain yang lebih besar diikat pada hujung tali telah dilastik itu untuk dijadikan tali keselamatan.
Di pangkal pokok tualang, Wan Muhammad Ayub Wan Jusoh, 29, yang sudah siap menyarung beberapa lapis baju dilengkapi penutup kepala kelihatan sudah siap untuk beraksi.
Berbekalkan sebatang tukul, seuncang beg berisi paku besar pelbagai saiz, sebilah pisau, baldi serta sabut kelapa yang sudah dicucuh api dan dibalut dengan daun pokok palas, Muhammad Ayub memulakan langkah memanjat pokok hutan itu dengan memijak paku yang sudah sedia terpacak di kiri dan kanan akar banir.
Dalam tempoh kurang lima minit, dia sudah berada di dahan utama pokok berkenaan pada ketinggian kira-kira 40 meter dari permukaan tanah.
“Beginilah rutin saya setiap kali mengambil madu lebah tualang yang terletak di kawasan hutan.
“Saya akan pastikan segala kelengkapan mencukupi dan persekitaran selamat terlebih dahulu sebelum saya dan rakan-rakan memulakan misi mengambil madu lebah di pokok tualang,” katanya kepada K2.

Muhammad Ayub dari Kampung Tuman, Marang, Terengganu berkata, aktiviti mengambil madu lebah di pokok tualang seakan sudah menjadi sumber pendapatan utamanya.
Madu tualang adalah madu yang diambil daripada pokok hutan, tualang. Pokok tualang merupakan antara pokok tertinggi di hutan dengan ketinggian antara 40 hingga 70 meter (m), sekali gus menggambarkan cabaran besar yang dilalui pemburu madu berkenaan.
Berbanding madu lain yang boleh diperolehi di pokok-pokok rendah atau secara penternakan, madu tualang memerlukan seseorang itu memanjat pokok hutan yang tinggi.
Menurut Muhammad Ayub, boleh dikatakan pekerjaan mencari madu lebah sudah sebati dengan dirinya memandangkan bapa dan datuknya juga merupakan pencari madu lebah sejak sekian lama.
Muhammad Ayub berkata, sejak kecil, dia sudah mengikuti bapanya, Wan Jusoh Wan Muhammad, 69, masuk ke hutan untuk mencari madu lebah.
“Ketika itu, saya hanya banyak membantunya melakukan kerja-kerja di bawah pokok termasuklah mengumpulkan madu yang sudah diambil dari sarang sebelum dimasukkan ke dalam tong atau plastik.
“Semasa berusia 15 tahun, barulah ayah memberi kebenaran untuk saya memanjat pokok dan mengambil sendiri madu lebah pada pokok yang tidak terlalu tinggi.
“Pada peringkat awal, saya berani memanjat pokok pada ketinggian kira-kira 10 meter sahaja kerana masih lagi belum mampu melawan rasa gayat,” katanya.
Cerita Muhammad Ayub, bagi pokok tualang yang pernah dipanjatnya atau sudah berpaku untuk dipijak, dia hanya memerlukan masa kurang daripada lima minit untuk memanjat dan berada di tengah-tengah pokok.
Namun jelasnya, jika pokok tersebut baru pertama kali dipanjat, dia memerlukan masa sehingga 30 minit untuk memanjat dan menukul paku sepanjang antara lima hingga tujuh inci di sepanjang laluan bagi memudahkan dia memegang dan memijaknya.

Katanya lagi, kebiasaannya dia akan menumpukan aktiviti mencari madu tualang di dalam hutan sekitar negeri Terengganu sahaja dengan ditemani beberapa rakan sebagai pembantu.
Bagaimanapun, katanya, dia ada juga ke kawasan hutan di Perak, Kedah dan Pahang sekiranya ada pihak yang memerlukan khidmatnya untuk mengambil madu lebah di pokok tualang, keruing atau meranti.
Pada ketika musim tumbuhan berbunga tidak menjadi di hutan, dia akan menumpukan pula aktiviti mencari madu lebah di sekitar kawasan kampung terutama pada pokok akasia, selain lokasi-lokasi tertentu seperti bangunan atau pokok bersarang lebah.
“Sebagai pemburu madu tualang, saya sudah mahir dengan musim-musim yang sesuai untuk masuk ke hutan bagi mencari madu.
“Biasanya, saya ke hutan selepas musim bunga lebat kerana ketika itu sarang lebah akan dipenuhi dengan madu. Jika musim bunga di hutan berlangsung dengan baik dan cuaca persekitaran juga baik, sebatang pokok tualang boleh memiliki lebih daripada 100 sarang lebah.
Jelasnya lagi, sekiranya bernasib baik, dia mampu mengambil antara 500 kilogram (kg) hingga 1 tan madu lebah tualang bagi tempoh dua hingga tiga hari berada di hutan.
Namun, jika keadaan sebaliknya, dia hanya mampu mengutip hasil sekitar 100kg madu untuk dibawa keluar dari hutan untuk dipasarkan.
Ketika ditanya mengenai cabaran terpaksa ditempuh sebagai seorang pengutip madu tualang, dia berkata, antara yang utama ialah keupayaan untuk melawan perasan gayat dan takut ketika berada di atas dahan.
“Bayangkan, saya perlu berada di atas dahan pokok tualang yang berketinggian antara 40 hingga 70m dalam keadaan perlu memotong sarang lebah untuk dimasukkan ke dalam baldi.
“Pada masa sama, saya juga perlu menahan sakit sekiranya disengat lebah kerana kebiasaannya, setiap kali memanjat pokok tualang, saya pasti akan disengat puluhan ekor lebah.
“Tetapi mungkin kerana sudah terbiasa, saya masih mampu menahan bisa lebah tersebut dan meneruskan kerja-kerja mengutip madu hingga selesai,” katanya.

Seorang lagi pemburu madu tualang, Khairul Anuar Mat Nong, 29, pula berkata, dia kerap masuk ke hutan mendapatkan madu tualang selepas mendapati permintaannya tinggi di pasaran.
Dia yang juga berasal dari Terengganu dan baru berjinak-jinak dengan aktiviti itu bagaimanapun mengakui risiko yang dihadapi oleh pemburu madu tualang sangat tinggi berbanding mencari madu lebah lain terutama di pokok kawasan kampung dan di luar hutan.
“Sebagai seorang pemburu lebah tualang, saya terpaksa mengambil risiko yang tinggi terutama berhubung keselamatan ketika berada di atas pokok tualang yang kebiasaannya berketinggian melebihi 40m.
“Ini kerana, ketika berada di atas dahan untuk mengambil madu, saya hanya bergantung kepada kekuatan sebelah tangan untuk berpaut pada dahan.
“Sebelah tangan lagi, saya perlu gunakan untuk melakukan kerja-kerja memotong sarang lebah dan memastikannya betul-betul masuk ke dalam bekas yang tergantung bagi mengelak ia terjatuh ke tanah.
“Jika tersilap langkah sama ada disebabkan kecuaian sendiri atau faktor lain seperti serangan lebah yang terlalu banyak, tiupan angin kencang atau cuaca hujan, ia boleh mengakibatkan saya terjatuh,” ujarnya.
Dalam pada itu, pensyarah di Jabatan Sains Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia, Dr. Norhasnida Zawawi berkata, permintaan tinggi terhadap madu tualang adalah disebabkan oleh persepsi pengguna.
Jelasnya, sebahagian besar pengguna sering mengaitkan madu tualang sebagai madu yang ‘asli’ dan tidak tercemar disebabkan ia diperoleh dari hutan berbanding madu yang diperoleh daripada lebah-lebah lain melalui sistem penternakan.
“Lebah tualang yang kebiasaannya banyak terdapat di hutan merupakan lebah spesies Apis dorsata yang memiliki saiz badan dan sayap yang lebih besar berbanding lebah lain.
“Disebabkan itu, ketika nektar diletakkan di sarang dan lebah tualang mengipas-ngipaskan sayap, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan kandungan air pada madu dengan jumlah lebih tinggi daripada madu dihasilkan lebah kelulut.
“Berbeza dengan madu lebah kelulut, ia lebih cair kerana kandungan air yang tinggi di dalamnya ekoran saiz lebah kelulut itu sendiri yang sangat kecil dan tidak mampu mengeringkan madu menerusi mekanisme mengipaskan sayap seperti lebah spesies Apis,” terangnya.






