fbpx
Penternak lembu, Ismail Hasan, 75, melihat lembu-lembu yang akan dikorbankan di di Kampung Sena Rendang, Marang, Terengganu baru-baru ini.

Lembu korban cecah RM7,000 seekor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Umat Islam yang berhajat untuk melaksanakan ibadah korban pada tahun ini mungkin perlu berbelanja lebih apabila harga semasa bagi seekor lembu di pasaran tempatan telah meningkat mencecah RM7,000 seekor.

Peningkatan itu dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuk kos makanan ruminan haiwan ternakan itu selain permintaan tinggi daripada orang ramai.

Berbanding sebelum ini, harga bagi lembu bersaiz sederhana adalah sekitar RM4,500 hingga RM5,000 seekor, tetapi mening­kat kepada RM6,500 sehingga RM7,000 ketika ini.

Ini bermakna, satu bahagian daging lembu adalah bernilai antara RM850 hingga RM1,000.

Di Kuala Nerus, Terengganu, seorang penternak, Awang Mohd, 45, berkata, kekurangan lembu tempatan selain kejatuhan nilai ringgit dan kos makanan ruminan menjadi punca kenaikan harga bagi haiwan ternakan itu.

“Kami terpaksa bawa masuk lembu dari Thailand bagi menampung permintaan untuk ibadah korban tahun ini.

“Kelemahan ringgit menyebabkan lembu dari negara jiran kini lebih mahal berbanding tahun lalu,” katanya.

Bagi Sumani Mohammad, 60, pula, dia terpaksa mengikut harga pasaran yang ditentukan oleh pemain industri pada masa ini.

Katanya, seekor lembu tempatan berusia dua tahun sete­ngah bersaiz sederhana boleh dijual sehingga RM6,000.

“Memang ada kenaikan untuk mengerjakan ibadah korban pada tahun ini iaitu RM700 hingga RM900 sebahagian mengikut berat dan jenis lembu,” jelasnya.

PERMINTAAN tinggi selain kenaikan kos makanan ruminan lembu menyebabkan harga haiwan ternakan itu meningkat menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha.

Seorang penternak, Ismail Hasan, 75, berkata, enam ekor lembunya yang berharga RM7,000 setiap seekor telah ditempah pelanggan untuk ibadah korban sejak awal bulan ini.

“Pada mulanya saya bercadang hanya mahu menjual tiga daripada 20 ekor lembu peliharaan untuk ibadah korban.

“Begitupun, saya memutuskan menambah tiga ekor lagi berikutan permintaan tinggi walaupun satu bahagian terpaksa dinaikkan RM1,000 berbanding cuma RM600 pada tahun lalu,” katanya ketika ditemui di kandangnya di Kampung Sena Rendang di sini semalam.

Di Bentong, Pahang, kenaikan harga lembu khususnya untuk ibadah korban pada tahun ini tidak menjejaskan permintaan haiwan itu daripada orang ramai.Seorang penternak, Zainul Zaman Mahalim, 58, berkata, kenaikan kos termasuklah harga dedak yang menunjukkan trend peningkatan beberapa kali menyebabkan dia terpaksa menaikkan harga lembu.

Katanya, pada masa ini, lembu yang biasanya dijual pada harga RM3,500 hingga RM4,000 seekor kini terpaksa dijual RM5,000 seekor, manakala yang sebelum ini dijual pada harga RM5,000, kini melonjak kepada RM7,000.

“Walaupun mengalami kenaikan harga, namun permintaan lembu untuk korban terus me­ningkat dan saya tidak dapat menampung semua permintaan,” katanya.

Di Batu Pahat, Johor, golo­ngan penternak lembu di negeri ini mengakui harga pasaran haiwan itu terpaksa dinaikkan menjelang Hari Raya Aidiladha.

Seorang penternak dari Parit Sulong, Mohamad Ikhwan Ismail, 32 berkata, kenaikan harga lembu berlaku disebabkan kos ope­rasi yang semakin meningkat khususnya harga bekalan makanan seperti hampas soya.

“Sejujurnya akan ada peningkatan harga jualan lembu berbanding Aidiladha tahun lalu kerana kami juga perlukan modal untuk pusing semula perniagaan ini,” katanya.

Di Sungai Petani, Kedah, harga lembu di negeri ini merekodkan peningkatan 20 peratus iaitu mencecah RM6,000 seekor.

Peniaga daging lembu dikenali Adnan berkata, dia telah dimaklumkan oleh rakannya yang mempunyai permit import lembu supaya bersedia berdepan dengan kenaikan harga ternakan itu dalam masa terdekat.

“Kawan saya memaklumkan kenaikan harga lembu import tidak dapat dielak ekoran penternak berdepan masalah harga makanan yang tinggi.

“Disebabkan harga lembu import tidak menentu, saya bercadang untuk mencari lembu tempatan bagi menampung permintaan,” katanya.

Seorang lagi peniaga lembu yang mahu dikenali sebagai Pyan berkata, setiap kali musim korban dia menjual kira-kira 900 ekor lembu kepada pihak masjid dan orang perseorangan.

“Berbeza kali ini apabila hanya 500 ekor lembu yang telah ditempah.

“Kami peniaga lembu tidak boleh sesuka hati membeli ternakan itu untuk dijadikan stok, sebaliknya membuat pesanan selepas menerima tempahan dan deposit,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN