PETALING JAYA – Tidak dinafikan, sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini membuatkan ramai teruja untuk pulang beraya di kampung selepas tiada lagi sekatan dikenakan seperti tahun sebelumnya.
Namun, dalam keterujaan itu, sebuah keluarga terpaksa berpatah balik dari Perak ke Kuala Lumpur gara-gara terlupa untuk menutup api dapur gas yang sedang memanaskan makanan dalam periuk.
Berkongsi pengalaman tersebut, seorang pengguna TikTok @jazduit menceritakan mereka sekeluarga mula menyedari perkara itu apabila setibanya di kampung halaman di Perak.
“Dah sampai perak baru sedar lupa tutup api,” tulisnya di kapsyen video.
Bimbang memikirkan keadaan di rumah, mereka sekeluarga segera berpatah balik pulang ke Kuala Lumpur dan berharap agar tidak berlaku sesuatu yang lebih memudaratkan.
Menerusi rakaman video tersebut, dapat dilihat keadaan makanan yang dipanaskan itu telah kering dan hangus di dalam periuk.
Bagaimanapun, tiada kemalangan lain berlaku memandangkan api yang dipasang berada dalam keadaan perlahan.
Dalam pada itu, pemilik video tersebut sempat berseloroh mengatakan sekiranya dia dan keluarga tidak menyedari perkara itu, berkemungkinan rumah mereka boleh terbakar dan memudaratkan rumah jiran lain.
Menjengah ke ruangan komen, pelbagai reaksi turut diberikan oleh orang ramai dan mereka juga berasa bimbang dan panik melihat situasi tersebut berlaku.
“Nasib baik ingat, kalau lupa pasti balik Kuala Lumpur tinggal tapak rumah sahaja,” ujar Alipp.
“Nasib baik tak terbakar rumah, berhati-hati lain kali, sebelum keluar rumah periksa dahulu semua dari dapur, bilik sampai setiap suis,” pesan Sarijmahat. – KOSMO! ONLINE






