TUMPAT – Polis menahan dua individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kes samun sebuah kedai pajak gadai emas di Seksyen 1, Jalan Besar dekat Pasir Mas, Khamis minggu lalu.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kedua-dua individu itu berusia dalam lingkungan 30-an ditahan di sekitar Pasir Mas sehari selepas kejadian.
Menurutnya, mereka kini direman selama tujuh hari bermula Jumaat lalu sehingga 12 Mei ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana merompak.
“Kita sedang mendapatkan bukti-bukti baharu selain perlu mengesahkan beberapa kenyataan daripada saksi.
“Berdasarkan siasatan ketika ini, terdapat percanggahan kenyataan daripada saksi. Polis sedang meneliti kenyataan saksi lain untuk melengkapkan siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pemakaian Lencana Pangkat dan Majlis Serah Tugas Ketua Polis Daerah Tumpat antara Superintendan Tan Seng Lee kepada Asisten Komisioner Amran Dolah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE.