KOTA BHARU – Penagih air ketum mengaku bahawa mereka sudah tidak boleh berpisah dengan ‘air tebu hutan’ tersebut kerana mampu memberi tenaga ketika bekerja dan akan menjadi lemah jika tidak meminumnya sehari.
Selain itu, air ketum juga didakwa berupaya menghilangkan tekanan selepas kerja.
Walaupun harga sebungkus air ketum kini dijual antara RM15 hingga RM30, rata-rata penagih tidak mempedulikannya kerana apa yang penting dapat meminumnya bagi menguatkan badan.
Seorang pekerja kedai yang mahu dikenali sebagai Azam, 21, berkata, dia tidak pernah serik menjadi penagih air ketum walaupun telah beberapa kali diberkas polis.
“Saya kini tidak boleh berpisah dengan ketum kerana saya anggap sebagai air tenaga sebelum bekerja. Saya boleh bekerja sehingga 10 jam jika dapat minum air ketum tiga kali sehari kerana badan akan terasa segar dan cergas.
“Saya beli dua bungkus yang dicampur dengan ubat batuk dan air berkarbonat pada harga RM30 sebelum membahagikannya kepada tiga agar dapat minum seharian ketika bekerja,” dedahnya kepada Kosmo!.

Dakwa Azam, selepas penat bekerja, air ketum boleh menghilangkan tekanan sekali gus menjadikannya tidak memikirkan masalah atau perhubungan dengan masyarakat.
Tambahnya, dia mula terjebak apabila minum air ketum yang diberikan secara percuma oleh rakannya beberapa tahun lalu.
“Sekarang bekalan susah nak dapat kerana permintaan terlalu tinggi selain daunnya sukar diperoleh dan harga pun boleh tahan mahal walaupun dijual pada harga RM15. Bagaimanapun ia tetap laris,” katanya.
Tambah Azam, operasi pihak berkuasa yang agresif ketika ini menyebabkan daun ketum sukar tiba di tangan penjual.
Seorang tukang rumah, Jusoh, 35, mengakui air ketum ibarat tonik bagi dirinya sejak lima tahun lalu.
“Air ini pada asalnya merupakan herba tradisional untuk memberi tenaga selepas bersalin. Tetapi telah disalah guna dan ditambah dengan ubat batuk dan lain-lain menyebabkannya jadi ketagih.
“Saya kena minum tiga kali sehari kerana memberi saya tenaga bagi mempercepatkan pembinaan rumah tanpa merasa letih. Puas hati sebab saya dapat bayaran dengan segera,” katanya.
Menurut Jusoh, tanpa air ketum, dia tidak dapat menyambung kerja pada waktu tengah hari dan akan mengambil cuti jika terputus bekalan kerana tiada tenaga untuk bekerja.
Tambahnya, ramai dalam kalangan buruh di kampung sudah ketagih air ketum sehingga dilihat seakan-akan normal dalam kehidupan mereka.
“Saya hanya minum yang asli dan tidak campur dengan bahan asing.
“Ada yang minum untuk suka-suka khayal kerana dicampur dengan ubat batuk,” katanya. -KOSMO! ONLINE














