fbpx
JERIJI gril yang bersaiz besar di bahagian depan SUV BMW ini tampak begitu menyerlah.

SUV kayangan lapan tempat duduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BMW bukan nama asing lagi dalam penghasilan kenderaan mewah sejak sekian lama. Model-model kenderaan utiliti sukan (SUV) jenama itu juga tidak kurang popularnya.

Antara SUV keluaran jenama itu seperti X1, X2, X3, X4, X5, X6, X7 dan yang terbaharu, iX turut mendapat perhatian dengan karakter yang tersendiri.

Baru-baru ini penulis telah diberi peluang untuk memandu uji model X paling besar dengan tanda nama X7.

Sejarah model ini bermula apabila pertama kali dipertontonkan ketika Pameran Motor Antarabangsa Frankfurt pada tahun 2017. Produksi BMW X7 bermula pada tahun 2018 di kilangnya di South Carolina, Amerika Syarikat.

Pada asasnya, model ini dibina menggunakan platform yang sama dengan model X5, namun X7 lebih panjang, lebih lebar dan lebih tinggi.

Bukan penulis nak sembang, tetapi model ini memang besar. Kalau kita lihat model X5 sudah besar, model ini yang hadir dengan tempat duduk barisan ketiga lebih besar.

Model yang BMW Malaysia beri kepada penulis ini ialah varian xDrive40i dengan berwarna biru (phytonic blue) dan bahagian dalaman menggunakan warna hitam (ada tiga pilihan warna).

Penulis cerita bahagian luaran dahulu. Paling menyerlah jeriji gril bersaiz besar yang memberikan imej sasa dan diapit dengan lampu hadapan jenis laser dengan adaptive headlight.

Pada bahagian sisi pula, model SUV ini menggunakan rim bersaiz 21 inci dibaluti dengan tayar runflat. Adakalanya penulis nampak rim ini kelihatan kecil tetapi sebenarnya besar, mungkin faktor badan kenderaan ini besar.

Kenderaan ini turut hadir dengan pemijak sisi bagi memudahkan pemandu dan penumpang untuk menaiki kenderaan ini. Satu lagi ciri-ciri menarik X7 ini turut hadir dengan vacuum door atau dipanggil soft closed door pada semua pintu.

KEMEWAHAN diterapkan sehingga ke tempat duduk barisan ketiga.

Tidak perlu hempas pintu kuat-kuat ya!

Pada bahagian belakang, model ini hadir dengan ekzos berkembar, selain logo X7 dan xDrive40i. But belakangnya boleh dibuka dengan menggoyangkan kaki di bawah bampar belakang sahaja.

Bonet belakang terpisah dua pula sangat membantu untuk memasukkan barang. Pintu bahagian bawah juga boleh dijadikan seperti tempat duduk.

Masuk ke ruang kabin, penulis terpesona dengan material yang digunakan memberikan imej SUV lapan tempat duduk ini berada di satu level atas lengkap dengan ciri-ciri canggih.

Semua tempat duduk menggunakan kulit hitam Vernasca, manakala bahagian bumbung dan semua pillar dibalut dengan material suede.
Memang nampak mahal.

Semua tempat duduk dalam kenderaan ini boleh dilaras secara elektrik walaupun tempat duduk barisan ketiga.

Jangan cari pelaras manual ya tuan-tuan. Penghadang matahari untuk penumpang di barisan kedua juga menggunakan butang kawalan di panel pintu atau di tempat pemandu.

Pergerakan ke depan dan belakang barisan kedua juga boleh dilaras oleh pemandu. Boleh bayangkan tak berapa barapa banyak butang di panel pintu pemandu?

Sistem penghawa dinginnya pula boleh dikawal secara peribadi termasuk di tempat duduk barisan ketiga.

Model ini menggunakan 16 pembesar suara jenama Harman Kardon.

Pada ruang pemandu, paparan bersaiz 12.3 inci BMW Live Cockpit Profesional membolehkan pemandu atau penumpang menggunakan sistem infortainmen menerusi isyarat tangan sahaja.

Pada barisan kedua pula, model ini hadir dengan dua monitor bersaiz 10.2 inci yang boleh disambung dengan telefon pintar sebagai hiburan tambahan.

Penulis dengan ketinggian 178 sentimeter (sm) cuba untuk duduk dibarisan ketiga. Selesa, itu ayat yang paling sesuai dan bagi saya BMW tidak menjadikan ruang ini sebagai tempat terpencil kerana bahagian ini turut dilengkap cermin panoramik bagi mengelak penumpang yang duduk rasa sempit, selain lengkap dengan unit kawalan udara dan port USB.

Pengalaman memandu uji kenderaan dengan lebar lebih 2,000 milimeter (mm) dam panjang 5,151mm ini pada mulanya rasa agak sukar terutama ketika melalui ruang sempit atau ingin parkir.

Sebaik memandu dan penulis ambil maklum ciri-ciri yang ditawarkan termasuk bantuan parkir dan bantuan undur di samping kamera 360 yang sangat jelas didapati sangat membantu dan memberikan keyakinan untuk memandu.

Model ini menggunakan enjin 3.0 liter Twin Power Turbo dan transmisi lapan kelajuan automatik. Kombinasi itu memberikan kuasa maksimum 340hp pada 5,500 hingga 6,500rpm. Penulis difahamkan kelajuan maksimum SUV ini ialah 245 kilometer sejam (km/j) dan ia mampu memecut dari pegun ke 100 km/j dalam masa 6.1 saat.

Satu lagi perkara menarik, BMW X7 xDrive40i ini turut hadir dengan sistem air suspension dengan Executive Drive Pro. Ciri-ciri ini memboleh kenderaan ini ditinggikan atau direndahkan dengan mengawal butang pada bahagian konsol tengah.

Kesimpulannya, pada pandangan penulis, ciri-ciri yang hadir bersama SUV ini padan dengan harga yang ditawarkan oleh BMW Malaysia.

Tidak banyak pengeluar yang menitikberatkan kemewahan di barisan ketiga penumpang. Bagi penulis model ini sesuai untuk mereka yang ingin menggunakan khidmat pemandu, dalam masa yang sama juga kenderaan ini juga sedap dipandu sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN