PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan keadaan hujan lebat berserta ribut petir dan angin kencang bakal melanda di lapan buah negeri sehingga pukul 10 malam ini.
Sehubungan itu, MetMalaysia mengeluarkan amaran ribut petir bagi beberapa daerah terlibat di negeri berkenaan.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di keseluruhan negeri Perlis serta beberapa daerah di Kedah temasuklah Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling dan Kulim.
“Bagi negeri Perak pula ia tertumpu sekitar Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook sebentar tadi.
Sementara itu, cuaca buruk yang sama dilaporkan berlaku di Kelantan iaitu daerah Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah dan Gua Musang, manakala di Pahang melibatkan Tanah Tinggi Cameron pada malam ini.
Tambah kenyataan tersebut, hujan lebat serta ribut petir diramal melanda Kota Tinggi, Johor.
“Di Sarawak, ia dijangka berlaku di Miri (Miri dan Marudi) dan Limbang.
“Bagi negeri Sabah pula, sekitar Pedalaman (Sipitang, Tenom, Beaufort, Nabawan, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat (Ranau), Sandakan dan Kudat (Pitas dan Kudat),” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














