fbpx
KEBANYAKAN bengkel terpaksa memanjangkan tempoh operasi sehingga empat jam bagi menampung jumlah kenderaan.

Bengkel penuh, tauke kerja overtime

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Dalam keghairahan menyediakan sepersalinan baju raya, soal keselamatan tidak diabaikan golongan perantau apabila mereka mula sibuk menghantar kenderaan masing-masing ke bengkel untuk diselenggara bagi memastikan perjalanan pulang meraikan Hari Raya Aidilfitri berjalan lancar.

Tinjauan Kosmo! di sekitar Lembah Klang mendapati, bengkel-bengkel kereta dilihat tidak putus-putus menerima pelanggan sehingga kebanyakan pe­ngusaha terpaksa memanjangkan waktu operasi sejak minggu lalu.

Rata-rata mereka terpaksa bekerja lebih masa antara tiga hingga empat jam sehari selain mengorbankan cuti hujung minggu untuk menyiapkan kenderaan pelanggan.

Pengurus bengkel Bandar Baru Motor Sdn. Bhd., Low Wan Koon berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk menambah waktu operasi berikutan peningkatan kenderaan untuk diselenggara pada tahun ini.

“Sejak minggu lalu, peningkatan kenderaan yang dihantar ke bengkel ini lebih 50 peratus berbanding tahun lalu, sehingga kini kami mempunyai 35 kende­raan sedang menunggu untuk di­selenggara.

“Bagi memastikan kami mempu­nyai masa yang cukup waktu operasi yang kebiasaannya dari 10 pagi hingga 6 petang dipanjangkan sehingga 10 malam setiap hari termasuk hari Ahad,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

PEKERJA Empayar Auto Centre sedang menyiapkan kereta pelanggan yang mahu pulang menyambut Aidilfitri.

Menurut Wan Koon, kos dan tempoh yang diperlukan untuk menyelenggara sesebuah kereta bergantung kepada kondisi kenderaan tersebut dan boleh mencecah sehingga RM1,500.

“Kebiasaannya, kenderaan yang dihantar akan menjalani servis minyak hitam, oil filter, spark plug, bateri, timing belt serta balancing dan alignment.

“Bagi servis biasa, ia akan mengambil masa sekitar 30 hingga 40 minit untuk satu kereta dan pelanggan biasanya akan ber­belanja RM150 hingga RM1,500 mengikut keperluan yang diperlukan,” ujarnya.

Tambahan masa juga dibuat Pengusaha Empayar Auto Centre, Lukman Nur Hakim yang memaklumkan pihak­nya menambah waktu operasi setiap hari selama tiga jam sejak ming­gu lalu bagi menampung jumlah kenderaan yang membuat penyelenggaran sebelum pulang menyambut Aidilfitri.

“Sejak pengeluaran khas sebanyak RM10,000, bengkel terus diserbu. Ramai yang minta buat selenggara penuh yang memerlukan masa yang panjang.

“Kami akan tutup pada pukul 6 petang untuk berehat sebelum berbuka puasa dan akan membuka semula operasi pada pukul 9 malam hingga 12 malam setiap hari,” ujarnya.

SEORANG pengguna melihat mekanik melakukan penyelenggaraan di sebuah bengkel di Seksyen 7, Shah Alam semalam.

Pengusaha bengkel di Balakong dikenali Ah Fai, 45, berkata, pihaknya tidak cukup tangan dan terpaksa menolak beberapa permintaan kerana kekangan tenaga kerja.

“Bengkel kami sudah penuh dengan kereta. Kebanyakan bengkel di sini juga sudah tidak ambil kereta lagi untuk selenggara musin raya,” ujarnya.

Di Shah Alam, seorang mekanik, Ahmad Faizal berkata, bengkelnya diserbu sejak awal Ramadan lalu dengan operasi bengkel dibuka seawal 8.30 pagi berbanding 10 pagi sebelum ini.

Katanya, dengan kekuatan tujuh pekerja bengkelnya tidak menang tangan dan hanya me­nerima 15 hingga 20 buah ken­deraan sehari.

“Kita hanya mengambil kenderaan bagi khidmat tukar minyak, tayar dan brek dan tolak jika ada pelanggan mahu buat overhaul, tukar enjin dan pemeriksaan sistem kabel kereta yang mengambil masa lama,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN