BERIKAN mikrofon kepadanya, Ella pasti memukau dengan gaya tersendiri.
Lagu-lagu berhantunya tetap mengundang tepukan gemuruh peminat biarpun sudah ratusan kali disaksikan menerusi pentas konsert, mahupun platform digital.
Kali terakhir muncul dengan konsert berskala besar di Istana Budaya menerusi Kembara Kita pada Februari lalu, Ella juga seperti mana-mana penyanyi ketika ini.
Kerinduan untuk bertemu peminat sedang bergelegak, namun apakan daya arahan penjarakan fizikal ketika dunia masih dibelenggu pandemik Covid-19 membataskan banyak rutin anak seni.
Namun, bagi mengubati kerinduan peminat, ramai selebriti ternama mengambil inisiatif melibatkan diri dalam penganjuran konsert virtual atau secara maya seperti yang pernah dilakukan Datuk Siti Nurhaliza dan Wings.

Tidak terkecuali, Ella juga antara nama yang cuba disunting untuk menjayakan konsert online.
Sungguhpun begitu, ratu rock yang sudah bergelumang dalam industri hiburan tanah air lebih tiga dekad itu masih tiada keyakinan untuk menjayakan persembahan besar berkonsep sedemikian.
Konsert virtual
Pemilik nama Norzila Aminuddin itu memberitahu, ada dihubungi beberapa penganjur yang berhasrat menjalin kerjasama untuk menjayakan persembahan secara atas talian.
Bagaimanapun, menurut penyanyi berusia 54 tahun itu, dia masih belum bersedia untuk mempersembahkan dirinya dalam konsert virtual seperti artis-artis lain.
Menurut Ella, dia perlu mengambil masa untuk memikirkan semua tawaran tersebut kerana belum berpuas hati dengan aspek teknikal penganjuran konsert secara maya.
“Ya, memang saya ada tawaran untuk buat konsert seperti itu tetapi saya masih tidak berpuas hati memikirkan aspek teknikal, terutama kualiti sistem bunyi.
“Mungkin saya perlu banyak belajar lagi, setakat ini memang semua itu tidak mencapai kualiti yang saya mahukan. Kalau sistem bunyi yang disediakan okey dan tidak menyakitkan telinga, saya akan bersetuju,” ujarnya.

Katanya, dia bukan sengaja menolak semua tawaran konsert online tetapi sebagai penyanyi berpengalaman, penganjur perlu mengutamakan dan memikirkan kepuasan penonton yang sudah melabur membeli tiket konsert tersebut.
Mengulas sama ada dirinya sudah mempunyai perancangan untuk menganjurkan konsert virtual sendiri, Ella berpendapat, masa dan komitmen menjadi kekangan utama buatnya ketika ini.
“Kalau nak anjurkan konsert virtual sendiri, boleh. Tetapi perkara itu perlukan masa memandangkan terlalu banyak benda yang perlu diberikan fokus.
“Bimbang juga kalau saya tidak boleh memberi komitmen kerana masih mempunyai urusan lain yang menuntut lebih perhatian. Pendirian saya, kalau nak buat sesuatu, buatlah yang terbaik dan berkualiti,” ujar isteri kepada juruterbang, Azhar Ghazali itu.
Mengalih perbualan tentang perkembangan semasa, Ella meluahkan rasa bangga terhadap semangat dan pencapaian bakat-bakat baharu yang memeriahkan industri ketika ini.
Ella sendiri pernah bersama-sama terlibat dalam sebuah program nyanyian realiti televisyen pada 2014, Mentor Legend yang telah melahirkan ramai pelapis bidang seni suara berkualiti.

Anak didik
Salah seorang yang cukup untuk membuatkan Ella tersenyum bangga ialah sepotong nama berbunyi, Aina Abdul.
Sebagai bekas mentor kepada penyanyi berusia 27 tahun itu, Ella tidak berhenti memuji pencapaian Aina dan berbesar hati pernah bekerjasama dengan pelantun lagu Sumpah itu.
Bukan sahaja dalam bidang nyanyian, Aina juga semakin menyerlah membina nama dalam segmen penciptaan lagu.
Di mata penyanyi lagu Permata Biru itu, Aina merupakan penyanyi yang bijak mencipta kelainan untuk menarik perhatian peminat, selain tidak bersandar kepada kehebatan vokal semata-mata.
“Jujurnya, saya sangat gembira dengan kejayaan Aina pada hari ini. Aina akhirnya berjaya membuktikan dia mampu berada pada tahap yang selayaknya.
“Paling penting Aina tidak buta muzik. Saya memang bangga dengan dia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ella juga tidak menolak sekiranya dia ditawarkan peluang untuk berduet dengan bekas protegenya itu.
“Perancangan itu merupakan satu idea yang sangat bagus tetapi saya rasa sekarang ini belum masa yang sesuai untuk menjalin kerjasama dengan Aina.
“Aina tak perlu pun hendak berduet dengan mana-mana artis lagi.
“Biar dia bergerak secara solo dahulu buat masa sekarang.
“Saya sendiri belum puas mendengar suara dan nyanyiannya yang hebat itu,” ujarnya.
Ella turut memuji kehebatan anak didiknya itu kerana berjaya menghasilkan lagu-lagu saduran yang hebat.
“Saya selalu menonton video nyanyiannya dan kagum dengan cara persembahan Aina semasa menyanyikan semula lagu-lagu orang lain.
“Antara lagu saduran nyanyiannya yang paling saya suka dengar ialah ketika dia mendedangkan lagu-lagu penyanyi antarabangsa seperti Rihanna dan Justin Bieber. Dia memang hebat,” katanya menutup perbualan.














