Mendengar namanya sahaja sudah cukup unik apatah lagi menikmati rasanya yang kenyal, manis serta berlemak di dalam bekas daun pisang sehingga juadah ini menjadi buruan penggemarnya sepanjang Ramadan.
Kuih tradisional yang dipanggil cecemek ini begitu terkenal dalam kalangan penduduk Pasir Salak yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Gajah, Perak. Juadah ini dikatakan sebagai warisan turun-temurun dari generasi ke generasi.
Bagi mereka yang tinggal di sekitar Pasir Salak pasti mengenali kuih ini. Namun, bagi yang tidak pernah mendengarnya apatah lagi melihat serta merasanya, pasti akan berasa pelik apabila mendengar nama kuih ini.
Meskipun muncul pelbagai jenis kuih moden serta kuih tradisional yang diberi nafas baharu, ia tidak mampu menandingi kehebatan cecemek yang sentiasa mempunyai permintaan termasuk pada bulan Ramadan.
Kuih cecemek boleh dikatakan sukar didapati memandangkan tidak ramai yang mengusahakan kuih tradisi itu pada masa kini.

Bagi pengusaha kuih cecemek resipi asli, Hashimah Yon Abdul Talib, 58, pembuatannya memerlukan ketekunan serta ketelitian untuk memastikan kuih ini mempunyai tekstur yang kenyal serta berlemak.
Menurutnya, meskipun kuih ini kelihatan mudah untuk dibuat dengan hanya menggunakan tepung pulut dan santan, namun jika terlebih uli atau tersalah kepekatan santan yang digunakan, rasanya akan berlainan.
Jelasnya, walaupun kuih ini menggunakan daun pisang sebagai bekasnya sama seperti kuih limas yang merupakan warisan Perak, namun dari segi bahannya jauh berbeza.
“Limas menggunakan tepung gandum tetapi cecemek menggunakan tepung pulut sebagai bahan utamanya dan diadun bersama santan cair sehingga menjadi doh.
“Proses menguli adunan tepung pulut dengan santan ini amat penting untuk memastikan ia tidak keras atau terlalu lembik.
“Santan yang diadun bersama tepung pulut pula perlulah santan cair atau orang sini gelar santan kemancor. Kalau santan pekat rasanya akan berlainan selepas masak,” katanya ketika ditemui K2 di kediamannya di Pasir Salak.
Selepas adunan menjadi doh, ia kemudiannya dibulatkan sebesar saiz wang syiling 20 sen dan dileperkan dengan membuat lubang di tengahnya untuk diletakkan gula.
Hashimah berkata, kuih yang siap dileperkan itu kemudiannya diletakkan di dalam bekas yang diperbuat daripada daun pisang setelah permukaan dalamnya dioles dengan minyak masak bagi mengelakkan tepung melekat selepas dikukus.
“Selepas itu, kita akan letakkan gula di dalam lubang kuih berkenaan sebelum dimasukkan bancuhan santan cair bersama tepung gandum dan dikukus selama 15 hingga 20 minit,” katanya.

Ditanya mengenai asal usul nama cecemek, Hashimah berkata, berdasarkan cerita arwah ibu serta neneknya, kuih cecemek mendapat nama daripada perkataan cemek yang ditutur orang dahulu.
“Apa yang saya diberitahu, nama cecemek itu berasal daripada proses pembuatannya yang memerlukan kita cemek-cemeknya atau orang panggil kemek-kemek untuk membentuknya. Selebihnya saya tidak tahu sebab kuih ini merupakan kuih tradisi orang-orang dahulu dan saya juga tidak pasti sejak bila juadah ini wujud,” katanya.
Tambah Hashimah, kuih cecemek yang dihasilkannya juga mengekalkan rupa asalnya iaitu berwarna putih dan bukan berwarna hijau seperti yang dijual sesetengah peniaga lain.
“Kawan-kawan saya ada yang buat kuih cecemek berwarna hijau menggunakan pewarna tetapi saya masih mengekalkan warna putih sebab hendak mengekalkan keasliannya.
“Ini kerana orang-orang lama selalu cakap dengan saya, mereka suka kuih saya sebab warna putih sama macam orang-orang dahulu buat,” katanya.

Hashimah yang mula menjual kuih cecemek sejak 15 tahun lalu berkata, dia tidak pernah menyangka kuih yang dipelajarinya sejak kecil daripada arwah ibunya menjadi punca pendapatan buat dia dan keluarga.
Katanya, dia mula menjual kuih itu selepas membuka kedai kopi bersama arwah suaminya sebelum kedai tersebut ditutup dan kini dia hanya meletakkan kuihnya di kedai makan rakannya.
Kedatangan Ramadan saat yang dinantinya kerana dia dapat menjana pendapatan lebih ekoran permintaan cecemek amat tinggi termasuklah di bazar serta tempahan orang ramai.
Menurut Hashimah, kesukaran mencari cecemek di kebanyakan kedai kuih ekoran tidak ramai membuatnya menyebabkan kuih ini sentiasa mendapat sambutan lebih-lebih lagi di bazar Ramadan.
Katanya, di luar bulan Ramadan, setiap hari dia meletakkan sekitar 50 bekas sampan kuih cecemek yang dijual pada harga 60 sen setiap satu di kedai rakannya. Namun, semasa Ramadan kuih itu akan dibungkus di dalam bekas plastik sebanyak lima bekas sampan dengan harga RM3 setiap satu bagi memudahkan rakannya menjual kuihnya itu di bazar.
“Apabila bulan Ramadan, saya terpaksa menyiapkan sekurang-kurangnya 150 sampan kuih cecemek untuk diletakkan di bazar dan jumlah tersebut masih tidak mencukupi.
“Kawan saya sentiasa meminta saya untuk buat lebih, tetapi saya sudah tidak larat dan tiada siapa yang membantu kerana anak perempuan saya duduk di Kuala Lumpur,” katanya.
















