JOHOR BAHRU – Pembukaan semula pintu sempadan Malaysia-Singapura bermula 1 April lalu nyata memberi sinar kepada rakyat kedua-dua negara untuk menikmati pelbagai kemudahan terutama bagi tujuan mencari rezeki dan melancong.
Bagaimanapun, kehadiran rakyat Singapura ke negara ini sedikit mencetuskan rasa tidak puas hati penduduk tempatan apabila ada segelintir daripada mereka dikesan membeli minyak petrol bersubsidi RON95.
Di media sosial, orang ramai turut berkongsi gambar yang menunjukkan tingkah laku warga Singapura sedang mengisi minyak, termasuk ada yang memasang ‘jack’ semata-mata untuk memasukkan kuantiti minyak pada kadar maksimum.
Turut berkongsi isu sama ialah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memaklumkan bahawa petrol RON95 adalah bahan kawalan kerana diberi subsidi yang tinggi.
Malah katanya, menjual RON95 kepada warga asing merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan.
Ketika ini, harga runcit minyak bersubsidi RON95 dijual RM2.05 sen untuk satu liter, manakala RON97 yang boleh dibeli oleh warga asing dijual pada harga RM3.91.
Untuk rekod, harga minyak di negara ini jauh lebih murah berbanding harga S$3.02 (RM9.37) bagi RON95 dan S$3.51 (RM10.90) bagi RON97 di negara jiran.
Berdasarkan tinjauan, dianggarkan lebih 5,000 kenderaan warga Singapura memasuki negara ini sejak pembukaan sempadan pada Jumaat lalu.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Pengguna Bumiputera Johor, Amin Samad berkata, pihaknya memang ada mendapat aduan mengenai tindakan pemilik kenderaan Singapura yang mengisi minyak petrol bersubsidi RON95.
Menurutnya, tindakan itu dilihat seolah-olah telah merampas hak rakyat negara ini sebagai pembayar cukai, selain ‘merompak’ keistimewaan yang diberikan oleh kerajaan.
“Sebenarnya isu ini memang sudah wujud sebelum pandemik lagi. Namun, sebaik pintu sempadan dibuka, mereka datang ke Johor, makan-makan, berbelanja sebelum isi minyak dan kembali ke negara mereka.
“Apa yang dibimbangkan adalah dari segi kawalan kerana minyak bersubsidi itu hak rakyat negara ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Amin turut mendedahkan wujudnya dakwaan bahawa pekerja stesen minyak turut bersekongkol membenarkan warga Singapura mengisi RON95.
Malah katanya, mereka juga didakwa menerima saguhati (tips) daripada warga Singapura.
“Pada kebiasaannya, mereka (warga Singapura) ke kaunter beri tahu nak isi penuh dan hulur wang, selepas selesai mereka akan beri tips kepada pekerja kaunter atau di pam minyak.
“Kebanyakan pekerja stesen minyak adalah warga asing, mungkin mereka tidak faham undang-undang sehingga berlaku ketirisan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, kesibukan di stesen minyak menjadi antara punca ada warga Singapura yang terlepas mengisi petrol RON95.
“Mungkin ada kejadian pekerja kami tak dapat nak kawal kesemua (dispenser) dan mungkin ada yang akan terlepas,” katanya.
Sehubungan itu, Khairul Annuar berkata, pihak kerajaan boleh memperkenalkan teknologi seperti nano-tag bagi tujuan penguatkuasaan.
Beliau menjelaskan, ia berfungsi untuk pengesanan, sekali gus membolehkan tindakan penguatkuasaan dibuat. -KOSMO! ONLINE














