GEORGE TOWN – Najis tikus, lipas dan bekas penutup kacang soya dipenuhi fungus merupakan antara bahan yang ditemui di sebuah kilang memproses produk berasaskan kacang soya di Batu Lanchang di sini semasa operasi Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) hari ini.
Selain itu, kilang yang beroperasi sejak 10 tahun lalu tersebut juga didapati mengabaikan kebersihan apabila meletakkan bekas berisi kacang soya di atas lantai tandas kilang.
Tambah menjijikkan, kawasan kilang yang menghasilkan produk seperti air kacang soya, tauhu dan taufufah untuk edaran di sekitar pusat bandar raya ini turut berbau hancing dipercayai kesan daripada air kencing tikus.
Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), JKNPP, Mohd. Wazir Khalid berkata, kilang berkenaan pernah diserbu dua tahun lalu, manakala pemiliknya pernah dikompaun dan kilang itu diarahkan tutup kerana tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Hari ini menerusi intipan yang dijalankan, kita menyerbu semula kilang yang menghasilkan produk soya ini dan mendapati kilang ini amat menjijikkan.
“Kita menjumpai tikus berkeliaran di kilang ini malah najis haiwan perosak ini berada di merata-rata tempat, malah sarang lipas juga turut dijumpai di dalam tempat penyimpanan kacang soya,” katanya ketika Ops Tegar Siri 2 hari ini.
Menurutnya, pemilik kilang memberi alasan bahawa dia tidak mempunyai tenaga kerja yang mencukupi dan tidak dapat menjalankan kerja-kerja pembersihan di kilang tersebut yang mempunyai tiga pekerja termasuk dua warga asing. -KOSMO! ONLINE














