KAGUM penulis tatkala memasuki ‘perut’ Jungle House yang terletak di Jalan Telawi 3, Bangsar, Kuala Lumpur.
Melihatkan perkataan All Things Honey yang jelas terpampang pada dinding utamanya dengan deretan balang kaca berisi madu pelbagai saiz tersusun kemas pada rak pameran di bahagian premis itu, kami mula membuat pelbagai telahan dan tercari-cari keunikan di sebalik kewujudan premis ini.
Mendekati rak madu di ruang pameran kedai, tidak semena-mena kepala kami mengangguk tatkala membaca setiap label yang tertulis kemas pada balutan balang madu tersebut.
Percaya atau tidak, bukan sahaja penulis dan jurugambar, bahkan beberapa individu lain yang berada di dalam premis tersebut turut melakukan perkara sama.
Sama seperti penulis, mereka mungkin tidak menyangka kewujudan puluhan jenis madu di dunia. Mana tidaknya, selama ini penulis hanya menyangka kesemua madu sama sahaja, sedangkan ia sebenarnya ada pelbagai variasi.
Menghimpunkan lebih daripada 10 jenis madu, tidak hairanlah jika premis itu dilabel sebagai gedung madu terkhusus pertama di Malaysia.
Kesemua madu yang ditempatkan di dalam premis tersebut adalah jenis monofloral, mentah dan tulen serta tanpa sebarang perisa tiruan.
Ini termasuk royal black (nektar iaitu madu bunga yang diekstrak daripada pokok mahoni), royal white (nektar bunga kiawe), jungle’s heart (nektar bunga strawberi), yellow love (nektar bunga linden) dan sweettooth (nektar bunga mangga).

Selain itu, terdapat juga jungle’s eye (nektar bunga longan), pink lady (nektar bunga kapas), roast cube (nektar bunga kopi), citrus bloom (nektar bunga oren) dan fruit boss (nektar bunga durian).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Paul Poh, pengembaraan menelusuri hutan tebal di Garut, Jawa Barat Indonesia bersama isteri, Ashley Lam sebelum ini menarik perhatiannya terhadap madu.
Ketika itu, mereka terserempak dengan sekumpulan pemburu madu lebah asli yang kemudian memberi peluang buat mereka merasai madu hutan asli dan segar.
Menikmati sendiri rasa manis bunga daripada madu tulen, organik dan tidak tercemar, berbeza dengan madu-madu yang pernah dirasai sebelum ini, membuatkan mereka memasang impian untuk memperkenalkannya di Malaysia.
Lantaran itu, wujudlah Jungle House pada 2018.

Menariknya, bukan madu biasa-biasa, sebaliknya boleh dikatakan majoriti yang dihimpunkan di premis tersebut adalah unik dan premium serta tidak ditemui di premis lain.
“Ketika pengembaraan tersebut, itulah kali pertama saya menikmati rasa madu sebenar. Jadi, kami berazam untuk membawa madu-madu itu balik ke Malaysia dan memperkenalkannya kepada masyarakat di sini.
“Tambahan pula, di sebalik kemanisan yang ada pada madu, ia mempunyai fungsi tersendiri dan bagus untuk manfaat sistem tubuh.
“Bukan sahaja mampu melegakan sakit tekak dan selesema, ia juga boleh meningkatkan imuniti, menguatkan stamina dan melegakan sakit pinggang serta lain-lain khasiat.
“Sebagai contoh, madu royal black mampu mengurangkan risiko penyakit jantung, manakala roast cube pula bagus untuk sistem pernafasan, melegakan batuk dan sakit tekak, selain baik untuk selesema dan sinus.
“Madu fruit boss boleh meningkatkan imuniti dan menyembuhkan luka, manakala citrus bloom pula tinggi kandungan vitamin C,” kongsinya.
Terangnya, lebah merupakan serangga utama dalam proses pendebungaan untuk lebih 75 peratus tanaman pertanian global.
Bagaimanapun, serangga itu juga antara spesies terancam di dunia yang mana sarangnya sering dimusnahkan.
Justeru, selain berkongsi manfaat yang terdapat pada madu tulen, dia dan isteri turut berhasrat untuk melindungi ekosistem semula jadi lebah madu dan menyokong pemburu lebah yang bertarung nyawa untuk mendapatkan ‘cecair emas’ yang berharga itu.

Menurut Paul lagi, kesemua madu yang ada di premis tersebut merupakan hasil kerjasama dengan komuniti Orang Asli, terutamanya dari hutan Indonesia, Thailand dan Malaysia.
“Dalam situasi endemik semasa yang mana kita perlu hidup dengan Covid-19, individu perlu membina sistem imun tubuh masing-masing menerusi pengambilan makanan sihat seperti madu. Jadi, kami mahu menjadikan madu sebagai salah satu gaya hidup sihat masyarakat di negara ini.
“Secara tidak langsung, ia membuatkan kami lebih komited untuk meningkatkan nilai tambah dalam kesihatan manusia dengan membawakan lebih banyak madu 100 peratus asli, mentah dan organik kepada masyarakat,” ujarnya.
Bukan sahaja membekalkan madu asli kepada individu, mereka malahan turut menghasilkan produk-produk berasaskan madu bagi memenuhi keperluan harian individu seperti jus dan manisan berasaskan madu.
Berkolaborasi dengan Jungle House dalam membekalkan khasiat madu kepada umum, pemburu madu di Indonesia, Deden Hamdan berkata, madu telah dijadikan sebagai makanan tambahan untuk tujuan kesihatan individu sejak ratusan tahun lalu.
Melihatkan manfaat yang ada pada manisan tersebut, menyebabkan Deden begitu bersungguh-sungguh untuk meneroka industri madu.
Biarpun mengakui di awal penglibatannya dalam industri sedikit mencabar, namun dia berjaya menemui lebih 30 jenis madu pada hari ini.
Bercerita lanjut menurut Deden, selain jenis lebah madu dan nektar bunga yang disedut, kualiti dan rasa yang terdapat satu-satu jenis madu turut bergantung kepada iklim, bunga dan musim tanaman (crop season).
Mengambil contoh madu hutan, tahap kepekatannya akan berbeza pada musim kering dan hujan.
Bagaimanapun, paling penting adalah cara madu itu dikutip.
Dalam memastikan kualiti madu itu, tahap kebersihan ketika proses kutipan madu dijalankan perlu diambil kira.
Selain itu, ia perlu disimpan pada suhu bilik menggunakan plastik pembungkusan makanan berkualiti yang ditutup rapi serta tidak terdedah pada cahaya matahari.
Menurut Deden lagi, madu merupakan produk semula jadi.
Bagaimanapun, seiring dengan peredaran zaman, banyak lambakan madu tiruan yang dijual di pasaran.
Biarpun dibeli pada harga yang jauh lebih rendah, namun tanpa mereka sedari manisan berkhasiat tersebut telah dicampur dengan pewarna serta perasa tambahan.
Mengakui itu merupakan cabaran sepanjang berkecimpung dalam industri madu, ujarnya, masyarakat perlu dididik untuk mengenali keaslian satu-satu madu yang mereka ambil.
“Banyak mitos atau salah faham yang wujud mengenai madu seperti ada yang mendakwa madu asli tidak dikerumuni semut, tidak boleh disimpan di dalam peti sejuk dan pelbagai lagi.
“Bagaimanapun, tanpa mereka sedari, keaslian satu-satu madu itu hanya boleh ditentukan menggunakan ujian makmal sahaja dan ia memerlukan kos yang sangat besar.
“Disebabkan itu, penting untuk membeli madu daripada penjual yang bertauliah bagi memastikan ia benar-benar asli,” jelasnya.














