PETALING JAYA – Terdedah dengan amalan atau gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sejak kecil menjadi salah satu faktor mendorong segelintir individu terjebak dalam budaya songsang.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, terdapat segelintir golongan LGBT telah terdedah dengan gaya hidup tersebut sejak kecil sehingga ke alam dewasa.
“Terdapat tiga faktor yang mendorong individu terbabit terlibat dalam LGBT antaranya terdedah kepada gaya hidup, perbuatan dan amalan sejak kecil secara sengaja atau tidak, sehingga mereka sukar meninggalkan budaya itu.
“Persekitaran mereka juga antara yang menyumbang kepada budaya songsang ini. Contohnya, mereka mempunyai rakan di rumah sewa dan asrama yang terlibat dalam LGBT yang sedikit sebanyak menggalakkan cara hidup tersebut.
“Pada masa sama, pendedahan elemen LGBT ini juga semakin bertambah di media sosial, televisyen, internet dan pekerjaan yang secara tidak langsung mempromosikannya,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Zainal Ariffin berkata, individu yang terlibat dalam LGBT mempunyai kesukaran untuk meninggalkan budaya tersebut kerana pelbagai faktor.
“Antaranya, pengaruh LGBT sangat kuat dalam kelompok mereka yang mana saling menyokong dan memberi dorongan. Tanggapan negatif masyarakat terhadap mereka juga menjadikan kumpulan ini lebih kuat.
“Terdapat juga sesetengah kes di mana mereka malu atau takut untuk mendedahkan perkara tersebut sehinggakan berlarutan dalam tempoh masa panjang.
“Nasihat saya, dunia LGBT ini tidak membawa sebarang manfaat yang hanya memberi ‘kemanisan’ sementara yang tidak menjanjikan apa-apa,” jelasnya.
Tambahnya, pelbagai langkah boleh diambil bagi membendung masalah tersebut dari berlarutan, sekali gus membawa mereka keluar daripada kehidupan tidak sihat.
“Negara ini mempunyai undang-undang dan kita harus membantu mereka dengan terus memberi nasihat, pemantauan dan sokongan sewajarnya. Jangan mengalah dan menghina dalam usaha membantu mereka keluar dari kehidupan LGBT.
“Keluarga juga harus memainkan peranan dalam melakukan pemantauan terhadap anak-anak mereka. Selain itu, pihak berwajib juga harus melarang sebarang bentuk aktiviti melibatkan LGBT ini tidak kira di media sosial, televisyen atau sebagainya dalam kandungan mereka,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE















