fbpx
AHLI KWSP dibenarkan membuat pengeluaran sehingga RM10,000 bermula pada 1 April hinga 30 April ini dalam usaha meringankan beban masing-masing.

‘Hanya Akaun 1 menjadi penyelamat kami sekarang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kerajaan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dirayu supaya mempertimbangkan permohonan pencarum yang mahu agensi itu membenarkan pengeluaran khas sehingga RM10,000 menggunakan Akaun 1 sepenuhnya dan bukannya daripada Akaun 2.

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, permohonan itu bagi memboleh­kan ahli-ahli yang mempunyai baki simpanan sedikit dalam Akaun 2 menggunakan wang itu untuk perkara ter­desak di kemudian hari.

“Dengan mengeluarkan simpanan secara terus daripada Akaun 1, pencarum dapat merancang semula kewangan dan mempunyai simpanan mencukupi (dalam Akaun 2) untuk perkara kecemasan seperti perubatan dan pinjaman perumahan,” katanya ketika dihubu­ngi Kosmo! di sini semalam.

Beliau mengulas mengenai syarat pengeluaran khas KWSP yang mana ahli dibenarkan membuat pengeluaran maksimum sehingga RM10,000 menggunakan Akaun 2 terlebih dahulu dan seterusnya Akaun 1 sekiranya baki tidak mencukupi.

Di Bera, Pahang, saranan sama dibuat Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia Daerah Bera, Azril Ramli yang meminta kerajaan supaya mempertimbangkan pengeluaran wang Akaun 1 memandangkan baki Akaun 2 semakin berkurangan.

Ini selepas pencarum mengeluarkan simpanan hari persaraan masing-masing menerusi skim i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra yang dilaksanakan sepanjang pandemik ini sejak 2020.

“Selain itu, kami turut berharap proses pengeluaran dipermudahkan dan tidak keterlaluan dengan karenah birokrasi yang akan membebankan pemohon,” katanya.

Sementara itu, pekerja pasar raya, Musliana Salleh, 44, berkata, dia merancang untuk membuat pengeluaran khas KWSP tersebut untuk melangsaikan hutang.

“Jika benar kerajaan ingin membantu rakyat, beri kelonggaran syarat supaya kami dapat membuat pengeluaran daripada Akaun 1,” katanya.

Di Ipoh, kerani, Jaafar Ismail, 50, pula memberitahu, simpanan Akaun 2 miliknya ha­nya berbaki RM5,000 kerana baru dikeluarkan bagi keperluan pendidikan anak-anak sebelum ini.

“Saya memang terdesak dan memerlukan wang tambahan, tetapi sudah tentu baki kecil itu saya mahu simpan untuk kegunaan ter­desak pada hadapan.

“Apa salahnya kerajaan benarkan pengeluaran terus daripada Akaun 1 tanpa usik Akaun 2 ke­rana matlamatnya adalah untuk membantu rakyat juga,” ujarnya.

Berkongsi pandangan sama ialah pengurus pasar raya, Suzana Mohd. Saiful, 37, baki Akaun 2 miliknya sudah berkurangan dan ia mungkin boleh di­simpan untuk digunabila perlu di kemudian hari.

“Pada hujung tahun lalu, saya sudah mengeluarkan sebahagian besar caruman untuk membeli rumah, jadi bakinya tinggal sedikit. Jadi saya amat berharap agar kerajaan dapat membenarkan pengeluaraan kali ini guna Akaun 1 sepenuhnya,” katanya.

Di Shah Alam, Shahdali Yusri, 30, berkata, dia terpaksa mengeluarkan simpanan KWSP sebelum ini selepas diberhentikan kerja dalam bidang perhotelan.

“Keadaan itu membuatkan saya hilang punca pendapatan. Untuk meneruskan kehidupan, saya terpaksa mengeluarkan simpanan hari persaraan. Sudah pasti pe­ngumuman semalam (kelmarin) melegakan, cuma saya harap pengeluaran dibenarkan menggunakan Akaun 1 sepenuhnya,” katanya kepada Kosmo!.

Harapan sama turut disandarkan bekas pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi swasta, Faizal Amin, 50, yang turut kehilangan kerja selepas kontrak perkhidmatannya tidak disambung oleh majikan.

“Keadaan kewangan semakin merosot kerana tiada pekerjaan. Keadaan ini sudah pasti menyukarkan saya dan sudah semestinya berharap ada kelonggaran diberikan bagi pengeluaran terakhir KWSP kali ini,” katanya.

Menurut Faizal, sebelum ini, dia sudah membuat pengeluaran Akaun 2 untuk membayar bulanan rumah dan keperluan lain.

“Jadi saya merayu kepada kerajaan dan KWSP supaya membenarkan saya serta pencarum-pencarum yang lain supaya mengeluarkan simpanan Akaun 1 tanpa mengganggu Akaun 2. Sudah tentu ia akan menjadi satu khabar gembira dan penyelamat bagi saya sekiranya ia dilaksanakan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN