SEREMBAN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan menyasarkan bidaan nombor siri pendaftaran ‘NDU’ akan memperoleh jumlah kutipan hasil melebihi RM1.3 juta.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, antara nombor pendaftaran yang dijangka mendapat sambutan dalam bidaan tersebut adalah NDU 8, NDU 88, NDU 8055, NDU 333 dan NDU 999.
“Kita menyasarkan kutipan hasil untuk siri bidaan nombor pendaftaran ‘NDU’ sebanyak RM1.3 juta berbanding kutipan RM1.1 juta yang diperoleh sebelum ini.
“Kita yakin sasaran ini dapat dicapai dengan keadaan ekonomi ketika ini apabila pendaftaran dan pengeluaran kereta baharu meningkat di Negeri Sembilan,” katanya pada sidang akhbar sempena Pelancaran Siri Nombor Pendaftaran ‘NDU’ melalui Sistem JPJeBid di sini hari ini.
Menurut Hanif Yusabra, sepanjang tempoh pelaksanaan Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) yang diperkenalkan pada April 2019 bermula dengan ‘NDN’ hingga ‘NDT’, kutipan hasil yang diperoleh JPJ Negeri Sembilan adalah sebanyak RM6.89 juta.
“Merujuk kepada statistik bidaan JPJeBid, nombor pendaftaran ‘NDT 1’ adalah bidaan tertinggi yang mencacatkan RM140,100,” katanya.
Hanif Yusabra berkata, bidaan bagi nombor pendaftaran ‘NDU’ itu akan dibuka selama lima hari bermula pukul 12.01 tengah malam, 20 Mac hingga pukul 10 malam, 24 Mac 2022.
“Pendaftaran boleh dilakukan di portal https://.jpjebid.jpj.gov.my atau melalui aplikasi mudahbalih JPJeBid.
“Harga bidaan dalam JPJeBid bagi kategori nombor bernilai utama bermula dengan harga maksima RM20,000, nombor menarik RM3,000, nombor popular RM800 dan nombor biasa RM300,” katanya.
Beliau berkata, tiada sekatan untuk melakukan bidaan, namun setiap individu hanya layak untuk memenangi maksimhm tiga nombor kenderaan manakala bagi perniagaan atau syarikat tidak melebihi lima nombor kenderaan.
“Kaedah pembayaran bidaan dalam JPJeBid adalah menggunakan kad kredit dan kad debit tempatan sahaja.
“JPJeBid ini menawarkan ketelusan bermula daripada transaksi pendaftaran sehingga pembayaran dibuat.
“Pelaksanaan inisiatif pembangunan JPJeBid merupakan langkah strategik JPJ dalam memberikan manfaat jangka panjang kepada rakyat selain meningkatkan kecekapan pengurusan nombor kenderaan melalui sistem urusniaga atas talian,” katanya. – KOSMO! ONLINE