SHAH ALAM – Kutipan zakat di Selangor menunjukkan penurunan ketara sehingga 31 peratus yang berpunca daripada kekangan kewangan dihadapi para pembayar zakat ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.
Berdasarkan rekod Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada bulan Mac, agensi itu merekodkan penurunan ketara sehingga mencecah RM20 juta sebulan.
Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Abdul Basith Hamid berkata, kutipan zakat bagi bulan Mac tahun ini adalah RM44.9 juta, iaitu penurunan lebih 31 peratus berbanding RM65.7 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Katanya, bagi bulan April, LZS berjaya mengutip RM71.9 juta, iaitu hanya pengurangan RM2 juta berbanding RM73.9 juta tahun lalu.
“Punca penurunan berkemungkinan disebabkan faktor kekangan kewangan yang dihadapi oleh para pembayar zakat susulan pelaksanaan PKP.
“Situasi ini menyebabkan LZS membuat unjuran atau sasaran kutipan RM800 juta berbanding RM900 juta semasa awal pelaksanaan PKP oleh pihak kerajaan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.
Bagaimanapun, ujar beliau, secara realitinya LZS dapat melihat proses pergerakan semasa ekonomi negara yang bermula sejak Mei adalah lebih pantas berbanding negara-negara lain.
“Trend kutipan zakat didapati mula meningkat pada Mei lalu dengan mencatatkan RM135.9 juta termasuk zakat fitrah berbanding tahun sebelumnya sebanyak RM113.5 juta selepas Perintah
Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan kerajaan,” tambahnya.
Mengulas lanjut, Abdul Basith menjelaskan, LZS berkemungkinan terpaksa menstruktur semula pengagihan zakat agar dapat memenuhi keperluan lebih 60,000 keluarga asnaf sekiranya sasaran kutipan RM800 juta itu tidak dapat dicapai.
Jelasnya, orang ramai harus menyedari bahawa LZS secara hakikatnya sama seperti institusi zakat yang lain di negara ini yang bertindak menstruktur semula pengagihan zakat bergantung kepada jumlah kutipan zakat yang dapat dikutip daripada para pembayarnya.
“Ia penting bagi memastikan kutipan tersebut mampu menampung keperluan agihan zakat.
“Secara umum, pelaksanaan agihan zakat di Selangor adalah berdasarkan Maqasid Syariah melibatkan tiga kategori utama iaitu bantuan berbentuk Daruriyat (asasi), Hajiyyat (keperluan) dan Tahsiniyat (pelengkap).
“Justeru, terdapat beberapa jenis bantuan zakat terutama dalam kategori Tahsiniyat akan dihentikan terlebih dahulu berbanding dua kategori lain bagi memastikan kelangsungan asnaf yang disifatkan begitu terdesak demi kelangsungan hidup mereka,” katanya.
Beliau berkata, kesedaran orang ramai terhadap pembayaran zakat tetap menunjukkan peningkatan iaitu seramai 42,264 pembayar zakat baharu pada tahun 2019 berbanding 37,442 orang pada tahun sebelumnya.














