fbpx
YONNYBOII

Cercaan jadi karya Yonnyboii

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DIA baru berusia 22 tahun. Pada usia yang masih muda, dia membina portfolio sendiri dalam dunia hiburan. Bukan satu cabang disiplin seni iaitu nyanyian, dia bahkan terlihat hebat menzahirkan melodi muzik serta nukilan lirik bermakna.

Dialah budak berpewatakan pelik yang sering dipersalahkan dan dipulaukan individu yang sepatutnya menyarung jersi sebagai ‘rakan’, namun bertindak menjauhkan diri. Dia Yonnyboii.

Sebelum meledak dalam arus perdana, rangkaian lagu nyanyian dan ciptaannya sudah mula mengisi ruang digital. Dia bergerak sendiri melukis rona seninya dengan lagu-lagu seperti Biar, Tujuan, Cemburu dan Takut.

Pernah menjadi mangsa buli sewaktu zaman persekolahan, Yonny menjadikan pengalaman lalu sebagai medium berkarya melalui muzik.
– AMIR KHALID

Kemudian, namanya mula meniti di bibir peminat apabila mencipta fenomena tersendiri dengan lagu berjudul Sakit (featuring Zynakal) dan Kelabu (featuring Azlan Typewriter).
Mula dimuat naik sejak lapan bulan lalu, Sakit sudah mencatat 32 juta tontonan dalam YouTube.

Semua itu menjadi satu pencapaian dan kejayaan yang bukan calang-calang buat seorang artis baharu tanpa menyandarkan paras rupa.

Melodi dan lirik yang lahir dari jiwa Yonny berkembang seperti larik kata dalam lagunya ‘kesilapan lama bakal jadi rama-rama.’

Kesilapan di sini boleh dikaitkan dengan masalah depresi yang dialami Yonny atau nama lengkapnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin sedari kecil.

Ramai yang kurang mengetahui bahawa Yonny menghidap penyakit gangguan hiperaktif defisit tumpuan (ADHD).

“Kalau saya tidak mempunyai penyakit ini, barangkali saya tidak wujud dalam industri hari ini. Saya anggap penyakit ini sebagai satu anugerah daripada Tuhan yang merangsang daya kreatif saya terutama dari segi penciptaan lagu dan penulisan lirik,” kata Yonny yang berasal dari Setapak, Kuala Lumpur kepada Hib Glam baru-baru ini.

Selepas berkolaborasi dengan Azlan Typewriter menerusi Kelabu, Yonny terus berkongsi karya-karya sarat makna mendalam seperti Tujuan dan terbaharu, Salahku.

MENURUT Yonny, muzik bersifat universal. Dalam katalog muziknya, sudah ada ratusan lagu yang dicipta sejak zaman underground sampailah ke saat ini.

Pengalaman, Salahku

“Salahku boleh saya katakan sebagai menyingkap kisah lalu tentang kehidupan peribadi saya. Pengalaman itu sebenarnya mematangkan saya.

“Ketika masih bersekolah, saya tidak ramai kawan. Saya memang jenis yang suka menyendiri, berdiam, memendam rasa dan cepat marah. Sebab itulah saya banyak menghasilkan lirik berdasarkan pengalaman semasa membesar,” kata Yonny.

Lirik Salahku umpama terjemahan bahawa manusia sememangnya tidak pernah sempurna.
“Ramai yang cakap lirik saya terlalu mendalam, namun pendengar sukakan sesuatu yang bukan direka-reka. Setiap lirik pasti ada kisah yang ingin saya sampaikan,” katanya lagi.

Tanpa berselindung, Yonny mendedahkan bahawa lirik lagu Salahku memang ditulis berdasarkan pengalaman hidupnya yang sering dipulaukan dalam kalangan rakan-rakan kerana perangai peliknya di mata umum.

“Lagu ini tentang isi hati diri saya. Sejak usia 16 tahun lagi, saya lebih selesa meluahkan perasaan dalam lagu. Saya sering merasakan diri banyak kekurangan. Kadangkala orang tidak memahami apa yang saya lalui. Jadi, menerusi lagu, saya dapat melempiaskan perasaan.

“Kadangkala kita rasa tindakan yang kita buat itu betul. Hakikatnya pada mata orang lain apa yang kita buat itu satu kesilapan. Di sini berlaku kekeliruan pada diri sendiri,” luahnya.

Kata Yonny, tidak mustahil apa yang dialami dirinya turut pernah dirasai orang lain dan mungkin kini menjadi pengikut karya muziknya.

“Saya rasa senario itu mungkin turut dilalui orang lain. Ketika merasakan diri sudah cukup baik dan bagus, pasti ada yang melihat sebaliknya.

“Akhirnya, semua itu menjadi pengajaran berharga dalam hidup. Kekurangan dan kelemahan yang ada dalam diri saya bertukar menjadi kekuatan. Akhirnya, rezeki saya dalam dunia seni. Hari demi hari saya lebih matang dalam banyak aspek,” dedahnya.

YONNY tidak mahu mengehadkan portfolio seninya hanya sebagai penyanyi hip hop. Dia gemar bereskperimen dan enggan terikat dengan satu predikat karier dan lebih suka bebas dalam berkarya.

Berkawan dengan diari

Asyik berbicara, Yonny memberitahu, dia tidak mempunyai kawan sewaktu zaman kanak-kanak, bahkan sampai ke satu tahap, satu-satunya kawan rapatnya ialah buku diari.

“Dahulu apabila saya buka mulut untuk berborak sahaja, orang tidak boleh terima. Jadi, saya dipulaukan oleh mereka (rakan sebaya) yang sepatutnya menjadi kawan saya.

“Orang cakap saya ini weirdo (seorang yang pelik) sampai saya alami kemurungan. Namun, cara saya untuk keluar daripada masalah kemurungan ialah dengan menulis diari.

“Sekurang-kurangnya, tiada kawan tetapi saya ada buku atau diari. Itulah kawan-kawan saya,” luahnya.

Sebelum menggulung perbualan, Yonny sempat menitipkan pesanan buat anak-anak muda yang pernah menjadi mangsa buli atau berasa tidak layak tinggal dalam kelompok masyarakat.

Katanya: “Saya tahu ramai remaja mempunyai bakat tetapi berasa tidak layak berada dalam masyarakat.

“Nasihat saya, jadikan kritikan orang sebagai motivasi untuk melakukan sesuatu yang baik, sekali gus menyumbang secara positif kepada orang ramai.”

Takdir zaman remaja yang seharusnya dinikmati tanpa kesal atau kegusaran itulah inspirasi buat Yonny. Muzik juga universal, jadi tiada isu peniruan. Sebaliknya karya boleh menyamai kehidupan sesiapa sahaja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN