KUALA LUMPUR – Seorang wanita mati dipercayai dibunuh dalam keadaan menyayat hati selepas mayatnya ditemui rentung di dalam bilik sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak, Cheras di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kebakaran sebuah bilik dalam kawasan sekolah berkenaan pada pukul 6.18 petang.
Berita berkaitan: Mayat wanita rentung dalam sekolah
“Bertindak atas maklumat, anggota Balai Polis Salak Selatan kemudian pergi ke tempat kejadian dan mendapati api telahpun dipadamkan.
“Anggota bomba menemui seorang wanita rentung dan mangsa merupakan penyelia kedai buku di sekolah itu,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk dibedah siasat.
Menurut beliau, susulan kejadian itu, pihaknya memberkas seorang lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berusia dalam lingkungan 30-an di dalam kawasan sekolah tersebut bagi membantu siasatan.
Siasatan awal mendapati suspek dan mangsa tidak mempunyai sebarang ikatan.
“Mangsa dipercayai dirogol di dalam tandas sebelum dia dibunuh dan mayatnya ditemui di dalam sebuah bilik lain. Siasatan lanjut berhubung kejadian masih berjalan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta supaya menyalurkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di talian 013-2165881, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/585 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.














