fbpx
GAMBAR kenangan Maliah ketika bergelar seorang pramugari.

‘Saya rindukan kerjaya di awan biru’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

PUTRAJAYA – Kerjaya di awan biru yang dibina seorang pramugari Malaysia Airlines (MAS) selama dua tahun berakhir apabila kontrak perkhidmatannya tidak dapat disambung syarikat akibat impak daripada penularan pandemik Covid-19.

Maliah Md. Noor, 27, kini terpaksa melupakan seketika kerjaya impiannya, sebaliknya meneruskan survival hidup dengan menjadi jurujual kenderaan sejak 4 Ogos lalu.

Bagaimanapun, dia mengakui masih rindu dengan tugasnya sebagai kru terutama ketika mengendalikan penumpang dalam pesawat yang mengelilingi dunia.

“Detik paling seronok tentulah apabila berpeluang melancong ke negara-negara lain secara percuma, melihat budaya masyarakat dunia serta dapat mempelajari bahasa asing.

“Jujurnya memang saya rindu detik itu, tetapi apakan daya, mungkin sudah tertulis rezeki saya sebagai pramugari selama dua tahun sahaja sejak 1 Julai 2018,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

 

MALIAH

 

Menurut Maliah, sekiranya diberi peluang, dia mahu kembali menjadi seorang pramugari pada masa depan kerana itu adalah kerjaya impiannya selama ini.

Namun, dia sedar industri penerbangan mengambil masa yang lama untuk pulih semula akibat penularan pandemik Co­vid-19.

Disebabkan itu, Maliah akur dengan kerjayanya sekarang selepas memulakan tugas sebagai jurujual kenderaan di sebuah pusat pameran di Petaling Jaya, Selangor.

“Kerjaya sebagai jurujual kereta sebenarnya sangat mencabar, tambahan pula saya tiada pengalaman dalam bidang pemasaran,” katanya.

Maliah berkata, dia harus mengharungi cabaran dalam kerjaya baharu itu demi kelangsungan hidup selain menanggung keluarganya.

“Saya adalah anak sulung daripada empat beradik. Selama ini hanya saya yang menanggung keluarga memandangkan ibu saya adalah ibu tunggal,” ujarnya.

Katanya, dia juga terpaksa menangguhkan perkahwinan yang sepatutnya berlangsung pada 1 Ogos lalu.

“Saya telah bertunang pada 8 Februari lalu dan sepatutnya bernikah pada 1 Ogos lalu, namun disebabkan saya dan tunang (jurugambar sambilan) kehilangan pekerjaan, kami terpaksa tangguh kepada tarikh yang belum pasti lagi.

“Jadi, kami rancang untuk bernikah selepas kewangan kami stabil. Saya berharap dapat diberi kekuatan untuk lebih tabah berdepan kesukaran hidup,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN