fbpx
TRAK pikap dianggap sebagai pembunuh di jalan raya sekiranya dipandu secara berbahaya dan laju hingga mengakibatkan pengguna lain terutamanya penunggang motosikal meninggal dunia. – GAMBAR HIASAN

Trak pikap pembunuh di jalan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh RIDZAUDDIN ROSLAN, AFIQ AL-HAFIZ MAT YUSOF dan FITRI HAZIM

PETALING JAYA – Kenderaan pacuan empat roda berupaya menjadi pembunuh di jalan raya kepada pengguna lain terutamanya penunggang motosikal sekiranya trak pikap tersebut dipandu secara berbahaya dan melulu.

Kesalahan yang dilakukan ketika memandu seolah-olah menjadi perangkap maut kepada pengguna lain kerana pemandunya akan berasa yakin ekoran fizikal kenderaan yang teguh, tinggi dan besar.

Risiko kemalangan di jalan raya melibatkan trak pikap juga lebih tinggi jika dibandingkan dengan varian lain seperti sedan atau hatchback.

Menurut Jurulatih TIC Advanced & Performance Driving Academy, Mohd. Azad Jasmi, trak pikap biasanya direka bagi pemanduan mencabar seperti off road dan bukannya untuk dipandu seperti varian lain yang mesra kepada landskap jalan raya.

Katanya, kegunaan utama trak pikap ialah untuk digunakan di luar jalan raya atau yang tidak berturap kerana ia mempunyai tahap ketinggian berbeza dengan sedan atau hatchback.

“Pusat graviti yang lebih tinggi akan mendorong trak pikap menjadi kurang stabil berban­ding kenderaan yang lebih rendah dan dekat dengan permukaan jalan.

“Analogi ringkasnya ialah se­perti orang berdiri lebih mudah jatuh berbanding yang sedang duduk,” katanya ketika dihubu­ngi Kosmo! di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas beberapa kejadian melibatkan trak pikap yang terlibat dalam kemalangan dan terbabas di jalan raya terutamanya ketika mengambil selekoh tajam.

Antara kes yang terjadi melibatkan kematian empat sekeluarga yang dirempuh trak pikap ketika mereka berada dalam kenderaan pelbagai guna di Kampung Lebu, Bentong, Pahang pada 28 Januari lalu.

GAMBAR HIASAN

Dalam pada itu, Mohd. Azad berkata, punca utama kemala­ngan adalah disebabkan pemandunya memandu secara berbahaya dan laju lebih-lebih lagi ia berlaku di persimpangan lampu isyarat.

“Selain perbezaan pusat gra­viti, cara pengendalian ketika memandu trak pikap di jalan raya boleh menjadi penyebab kepada peningkatan jumlah kemalangan melibatkan kenderaan itu.

“Lebih teruk apabila sikap pemilik tidak mengenali secara menyeluruh sifat kenderaan itu dan menganggapnya sama dengan kereta-kereta lain yang menjadi punca kepada pertambahan jumlah kemalangan,” jelasnya.

MOHD. AZAD

Sementara itu, ketika ditanya mengenai risiko kemalangan membabitkan pacuan empat roda dan kenderaan lain, Mohd. Azad memberitahu, struktur kenderaan yang kukuh menyebabkan ia lebih lasak.

“Pacuan empat roda sejenis kenderaan tinggi, apabila kenderaan lain melanggarnya, ia biasanya melibatkan bahagian tayar atau badan kenderaan itu sahaja,” katanya.

Difahamkan, impak kemala­ngan mungkin lebih dirasai kereta yang melanggarnya jika ia sejenis sedan ataupun hatchback yang akan mengakibatkan penumpang cedera parah atau meninggal dunia

Susulan itu, Mohd. Azad menasihatkan agar pemandu trak pikap meningkatkan ilmu pemanduan bukan sahaja secara kemahiran fizikal tetapi melibatkan unsur emosi.

“Unsur emosi meliputi kemahiran kematangan diri agar tidak mudah terpengaruh dengan ajakan atau mudah teruja dengan kenderaan lain di atas jalan raya memandangkan ia merupakan ilmu pemanduan yang jarang diambil berat,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN