PETALING JAYA – Kedudukan trak pikap yang lebih tinggi berbanding kereta menyebabkan ia lebih berisiko untuk terbalik dan menyebabkan kemalangan maut.
Pakar automotif, Gan Yong Li berkata, kebanyakan trak pikap memiliki berat melebihi dua tan dan tidak seimbang kerana bahagian hadapannya lebih berat berbanding bahagian belakang.
“Kebanyakan kenderaan lebih berat di bahagian hadapan, namun bagi trak pikap beratnya tidak seimbang kerana bahagian belakangnya kosong. Beratnya menjadi seimbang jika membawa muatan (di belakang).
“Faktor kedua adalah kedudukannya yang lebih tinggi menyebabkan ia mudah untuk oversteer dan terbalik seterusnya mendedahkan risiko maut kepada pemandunya,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Ujar Yong Li, walaupun ketika memandu di jalan lurus atau lebuh raya, trak pikap kelihatan lebih stabil dan tidak ‘bergoyang’ sekiranya memotong kenderaan berat, namun pemandunya perlu lebih berhati-hati.
“Ini kerana, kita tidak tahu apa yang akan berlaku di hadapan. Sekiranya mahu mengelak sesuatu, pemandu trak pikap lebih berisiko untuk terbalik dan oversteer.
“Keadaan itu berbeza dengan kenderaan tinggi seperti lori dan kenderaan pelbagai guna yang mana beratnya lebih ‘seimbang’.
“Nasihat terbaik adalah pandu dengan berhati-hati dan tidak menekan brek pada saat akhir di laluan berselekoh. Jangan terlalu yakin memandu laju dan brek pada saat akhir, kesilapan dalam tempoh satu saat boleh menyebabkan kemalangan maut.
“Kita membeli kenderaan bukan untuk berlumba, sebaliknya memudahkan kehidupan seharian. Memandu terlalu laju mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain selain diri sendiri,” tegasnya.
Dalam pada itu, pakar automotif, Hezeri Samsuri memberitahu, apabila sebuah trak pikap berhenti secara mengejut, berat akan ‘berpindah’ ke bahagian hadapan seterusnya menyebabkan pemandu sukar untuk mengubah laluan.
“Pemandu trak pikap perlu faham dan jangan brek secara tiba-tiba sebelum selekoh. Bawalah kenderaan dengan berhati-hati dan perlahan,” ujarnya.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan pemandu kenderaan kecil yang dilanggar pacuan empat roda adalah 412 kali lebih berisiko maut atau cedera parah. Selain itu, pacuan empat roda adalah 40 peratus lebih berkemungkinan membunuh atau cedera teruk sekiranya berlaku kemalangan melibatkan kenderan tersebut. -KOSMO! ONLINE














