PETALING JAYA – Pasangan yang ditangkap khalwat akan disiasat mengikut peruntukan undang-undang mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah tidak kira latar belakang sama ada orang kenamaan (VIP), berpangkat, marhaen, pelajar, penjawat awam atau swasta.
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Ajib Ismail berkata, siasatan tanpa memilih bulu itu akan dijalankan secara adil mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
Katanya, jika ada bukti kukuh, kes akan dipanjangkan kepada pihak pendakwaan.
“Bagi kes yang tidak boleh ditangkap iaitu perbuatan tidak sopan di tempat awam, mereka akan disiasat mengikut Seksyen 29 akta yang sama serta diberi Surat Perintah Hadir bagi membantu siasatan.
“Pesalah akan diberi kursus pemahaman Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah bagi mengelakkan mereka mengulangi kesalahan,” katanya.
Menurut Ajib, Jawi akan mempergiatkan operasi penguatkuasaan melalui pemantauan dan rondaan serta operasi bersepadu bersama agensi-agensi lain.
Tambahnya, selain itu, program dan kempen pencegahan seperti ceramah dan forum, pameran dan edaran risalah berkaitan undang-undang itu akan diteruskan sesuai dengan norma baharu.
“Kita juga mempunyai pegawai penguat kuasa agama yang kompeten dalam melaksanakan tugas. Awasi diri dan ahli keluarga sepanjang masa daripada melakukan perbuatan dilarang syariat dan boleh mencemarkan kesucian agama Islam,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes jenayah syariah supaya menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Jawi melalui talian hotline 1-800-88-1771 (Kuala Lumpur), 1-800-88-2675 (Putrajaya). -KOSMO! ONLINE














