JOHOR BAHRU – Pemilihan lebih 70 peratus muka baharu yang akan bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membuktikan parti itu bukan ‘parti statik’.
Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, pemilihan tersebut juga mencerminkan bahawa parti berkenaan bersedia melahirkan lebih ramai tokoh baharu dalam politik untuk masyarakat.
Menurutnya, selain menawarkan muka baharu, BN juga bersikap lebih terbuka apabila calon yang dipilih lebih seimbang dari segi pengalaman, latar belakang dan juga kelayakan.
“Jika kita belajar daripada PRN di Melaka dan Sarawak, jelas pengundi mahukan muka-muka baharu.
“Di Johor, bukan sahaja muka baharu, tetapi 85 peratus calon-calon yang diketengahkan mempunyai kelayakan akademik yang tinggi,” katanya pada sesi temu bual khas di sini.
Tambah Hasni, langkahmengetengahkan calon muda termasuk Kelly Chye Pei Yee yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkibol menggambarkan bahawa BN tidak ‘statik’.
Malah, katanya, BN menjadi parti yang terus diremajakan dengan menampilkan tokoh-tokoh muda dan bakat kepimpinan baharu.
Hasni memberitahu, gabungan muka baharu dan lama juga dilihat mampu membantu dalam merealisasikan kejayaan pada PRN kali ini sekali gus memacu semula pembangunan di Johor.
“Gandingan calon-calon berpengalaman dan berkelayakan adalah seimbang untuk pertumbuhan negeri Johor, lebih-lebih lagi dalam konteks negeri yang memiliki pelbagai kaum.
“Saya amat yakin mereka mempunyai ciri-ciri yang dikehendaki pengundi dan ‘ramuan cukup’ untuk mendampingi dan mewakili rakyat serta memahami arah tuju serta perjuangan yang telah digariskan parti,” jelasnya.

Tambah Bekas Menteri Besar itu, Johor tidak boleh terus berada di belakang kerana pelbagai perancangan telah dilakukan sebelum ini sebelum ia ‘terhenti’ seketika selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Jelas beliau, sebelum ini, Johor menerima pelaburan tertinggi dalam negara selama lima tahun berturut-turut bermula tahun 2013 hingga 2018.
“Dengan infrastruktur yang telah dilaburkan serta projek-projek yang telah dibawa, Johor sepatutnya dipacu jauh ke hadapan.
“Tetapi apabila berlakunya PRU-14 dengan keadaannya begitu (pertukaran kerajaan), ia memperlihatkan betapa Johor telah ‘terhenti seketika’,” kata Hasni.
Bagaimanapun, kata Calon BN DUN Benut itu, pihaknya berjaya mengembalikan pembangunan di Johor selepas kerajaan bertukar kepimpinan walaupun ketika itu masih berhadapan dengan pandemik Covid-19.
“Kira-kira dua minggu selepas mengambil alih semula kerajaan, kita berjaya merencana beberapa program pembangunan menerusi Ibrahim Johor Economic Council.
“Sehari selepas mengambil semula kerajaan, kita telah duduk berbincang dengan pakar-pakar ekonomi dan berbicara bagaimana Johor dapat dibangunkan semula dalam masa sama berhadapan dengan pandemik Covid-19 serta pelbagai ketidaktentuan dalam banyak perkara,” tegasnya.
Hasni menambah, menerusi idea-idea daripada pakar yang bersama-sama bergabung idea dan tenaga, hasrat kerajaan untuk mewujudkan pejabat di Singapura akhirnya tercapai seperti contoh ‘Johor Economic Tourism and Culture Council’.
“Selain itu, kita juga berhasrat untuk bangunkan ‘barter trade port’ (pelabuhan tukar barang) di Batu Pahat menjadi pelabuhan terpenting kerana di sebelah Indonesia itu adalah daerah yang akan membangun seperti di Batam, Bintan, Riau dan Kepulauan Riau.
“Johor perlu bersedia untuk berada dalam ruang lingkup kerancakan ekonomi kerana pelannya sudah ada di seluruh negeri, namun hanya kerajaan stabil sahaja yang mampu membangunkannya,” ujarnya.

Justeru, bagi merancakkan semula pembangunan negeri Johor, Hasni dengan tegas mengingatkan calon yang telah dipilih supaya bekerja lebih keras bagi memenangi hati pengundi di Johor.
Katanya, kemenangan BN dalam PRN Melaka sebelum ini bukan jaminan untuk kemenangan parti itu dalam PRN Johor, sehubungan itu kesemua calon perlu bekerja keras.
“Saya amat kecewa kalau ada calon yang menganggap kemenangan BN di PRN Melaka jaminan ‘bonus’ dan keadaan serupa boleh berlaku di Johor.
“Kerap kali juga kita ingatkan calon supaya tidak mudah alpa dengan tanggungjawab yang sedang mereka pikul.
“Jangan jadikan PRN Johor pada kali ini seolah-olah pilihan raya biasa kerana ia amat penting untuk tempoh lima tahun akan datang,” ujarnya.

Hasni menambah, sekiranya BN gagal memenangi PRN pada kali ini, beliau yakin amat sukar membentuk kerajaan stabil sekali gus mengembalikan kegemilangan Johor yang pernah dilalui sebelum ini.
“Gunakan kesempatan yang ada ini untuk pastikan Johor lima tahun ke hadapan sebagai negeri paling maju dalam negara kita,” katanya.














