KUALA LUMPUR- Barangan bernilai RM 123,960 telah disita melalui sebuah premis gudang penyimpanan di Selayang kerana disyaki melakukan kesalahan menyimpan barang kawalan berjadual iaitu gas petroleum cecair (LPG) di tempat yang tidak dilesenkan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, serbuan yang dilakukan pada pukul 6.30 petang semalam itu selepas pihaknya melakukan risikan selama dua minggu.
Katanya, sepasukan penguatkuasa daripada Pejabat KPDNHEP WPKL terdiri daripada 12 orang anggota telah membuat serbuan di gudang tersebut.
“Hasil serbuan itu, sebanyak 247 tong LPG dan dua buah lori telah disita. Nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM 123,960.
“Siasatan lanjut ke atas pemilik perniagaan tersebut sedang dijalankan bersabit dengan kesalahan di bawah Peraturan 20 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki atau meyimpan barang kawalan berjadual ditempat yang tidak dilesenkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, jika pemilik didapati melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan hukuman didenda tidak melebihi satu juta ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
“Manakala bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, pesalah boleh didenda tidak melebihi tiga juta ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
“Jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi dua juta ringgit, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi lima juta ringgit,” jelasnya.
Tambah Ariffin, kementerian menerusi Bahagian Penguatkuasa memberi amaran keras dan peringatan kepada mana-mana individu mahu pun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang khususnya melibatkan barang kawalan berjadual. – K! ONLINE.














