fbpx
FAUZI antara ulama Islam yang disegani di negara ini.–AMIR KHALID

K2

Dr. Fauzi Deraman tokoh ilmu hadis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAAT bersua dengan lelaki berusia 66 tahun itu, penulis dapat rasakan satu aura yang sangat luar biasa sehingga memberi ketenangan jiwa.

Tutur katanya yang lemah lembut sambil diselang-seli dengan ketawa kecil sewaktu menjawab setiap persoalan yang diajukan cukup menyenangkan, bahkan hujah diberikannya sangat jelas dan menarik.

Lalu terlintas dalam benak fikiran penulis akan ungkapan seorang pensyarah di universiti dahulu:
“Sentiasalah berdamping dengan orang alim bagi menghidupkan hati yang mati serta beroleh ketenangan jiwa.”

Itulah pengalaman unik dilalui penulis apabila berpeluang menemu bual Tokoh Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 2020, Dr. Fauzi Deraman di kediamannya di Taman Batu Muda, Kuala Lumpur.

Sumbangan dan ilmu pengetahuan yang dicurahkan oleh susuk kelahiran Machang, Kelantan itu cukup banyak dalam dunia Islam di dalam mahupun luar negara sehingga melayakkannya memenangi anugerah berkenaan.

Bakti Fauzi meliputi khidmatnya selama 32 tahun sebagai ahli akademik di Universiti Malaya (UM) dan penglibatan amalnya bersama jabatan kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO).

Dia juga aktif menulis naskhah-naskhah ilmiah atau menterjemah penulisan tokoh Islam terutamanya berkaitan bidang kepakarannya iaitu ilmu hadis.

“Anugerah ini sangat bermakna dalam hidup saya selepas lebih tiga dekad berbakti kepada agama dan negara. Ini adalah anugerah tertinggi yang diraih saya.

“Ia akan menjadi pembakar semangat kepada saya untuk terus menabur bakti kepada masyarakat selagi kudrat mengizinkan untuk berbuat demikian,” tuturnya.

 

FAUZI (kiri) menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 2020 daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (kanan) diiringi Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa (tengah).

 

Fauzi bukanlah individu asing dalam dunia Islam di negara ini. Pemegang Ijazah Doktor Falsafah dari Akademi Pengajian Islam UM itu sering muncul dalam radio, televisyen dan sebagainya untuk menyampaikan ceramah.

Bercerita lanjut, Fauzi memaklumkan, kerjayanya bermula sebagai pensyarah di Fakulti Usuluddin Akademi Pengajian Islam, UM selama 17 tahun dari tahun 1986 hingga 2013.

Katanya, dia kemudian berpindah ke Jabatan al-Quran dan Hadis di universiti sama sehingga menamatkan karier selama tiga dekadnya sebagai ahli akademik pada 2016.

Sepanjang penglibatan sebagai tenaga pengajar di universiti, bapa kepada sembilan cahaya mata itu banyak mencurahkan ilmu kepada pelajar termasuk tokoh-tokoh agama hebat negara ketika ini.

 

FAUZI banyak melakukan aktiviti dakwah antaranya di Sabah yang dilakukan pada 2015.

 

“Anak murid saya sangat ramai hingga tidak terhitung. Ada antara mereka yang sudah berjaya menjadi imam masjid, jurunikah dan mufti di beberapa buah negeri.

“Antara bekas anak murid saya termasuklah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria; Mufti Sabah, Datuk Ustaz Aziz Jaafar dan Mufti Melaka, Datuk Wira Abd. Halim Tawil,” katanya.

Sewaktu berkhidmat sebagai pensyarah, Fauzi juga aktif dalam memberi khidmat nasihat dan panduan kepada jabatan kerajaan berkaitan bidang hadis.

Fauzi pernah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Perunding Hukum Syarak Wilayah Persekutuan, bekas AJK Penyemak dan Penilai Hadis di Kementerian Dalam Negeri dan AJK Kurikulum Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan.

Pada masa sama, dia juga pernah menjadi penasihat di beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) seperti Penasihat Akademik Jabatan Usuluddin, Kolej Universiti Islam Selangor.

“Saya melihat situasi ini sebagai satu perkembangan yang baik apabila semakin banyak jabatan kerajaan dan IPT mula mendapatkan nasihat atau tunjuk ajar daripada pakar mengenai isu berkaitan hadis.

“Hadis adalah satu ilmu yang sangat rumit dan tidak ramai individu mahir mentafsirkannya. Jadi, nasihat pakar-pakar sangat diperlukan supaya masyarakat tidak mendapat tafsiran hadis yang salah,” jelasnya.

Tidak cukup dengan itu, Fauzi juga memegang jawatan Naib Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Al-Mannar Malaysia.

 

FAUZI merasmikan sebuah masjid di Pattani, Thailand pada 2019.

 

Usaha dakwah

Menerusi kedua-dua platform berkenaan, Fauzi banyak melakukan kerja-kerja menyebarkan dakwah ke beberapa kawasan seperti Sabah, Sarawak, selain kerja kebajikan di selatan Thailand.

“Saya mula terlibat dan aktif dengan PUM selepas dipelawa oleh Datuk Salleh Ahmad yang ketika itu merupakan YDP persatuan ini. Melalui PUM, saya banyak terlibat dalam program-program dakwah seperti Misi Dakwah Bersama Dr. Fauzi Deraman yang berlangsung sebanyak 15 siri merangkumi destinasi Sarawak, Sabah dan Pattani, Thailand.

“Di Sabah dan Sarawak, saya banyak terlibat menyebarkan dakwah Islam sementara di Pattani membantu dalam usaha mencari dana bagi pembinaan masjid, sekolah dan asrama tahfiz,” ujarnya.

Pada masa lapang, lelaki yang menjadikan gurunya, Abd. Fattah Aboo Ghuddah sebagai idola itu banyak menghabiskan masa memenuhi undangan program kuliah ilmu di sekitar Lembah Klang, selain menulis dan menterjemah buku.

Sebanyak 26 buah naskhah buku telah berjaya dihasil dan diterjemah oleh Fauzi antaranya adalah Petunjuk Nabawi Bagi Hati, Pengajian Hadith di Malaysia dan Petunjuk Nabawi Bagi Adab Kesopanan.

“Saya mula menulis dan menterjemah buku sejak berkhidmat sebagai pensyarah lagi. Ia bukan saja mengisi masa lapang, bahkan sebagai salah satu cara menambah ilmu. Masa saya di rumah banyak dihabiskan di depan komputer untuk menulis,” ujar pemenang Anugerah Perkhidmatan Cemerlang UM 2010 itu.

Mengulas mengenai hadis, Fauzi menegaskan ia adalah sumber rujukan utama umat Islam, selain al-Quran.

Tegasnya, al-Quran dan hadis bersifat saling melengkapi antara satu sama lain dan umat Islam akan mengalami kesukaran untuk memahami sesuatu perkara atau isu tanpa merujuk kedua-duanya.

“Hadis adalah laporan ajaran, perbuatan dan perkataan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Hadis banyak digunakan dalam membentuk dasar undang-undang syariah,” ujarnya.

IPT khusus hadis

Bagaimanapun, Fauzi menyatakan kekesalannya mengenai tindakan segelintir pihak yang menyebarkan hadis palsu.

 

SALAH satu buku yang dihasilkannya.

 

Jelasnya, dalam era digital ketika ini, penyebaran hadis palsu menjadi lebih mudah dan pantas, sekali gus menyebabkan masyarakat mudah terpedaya.

“Apabila ada hadis menarik sedikit, orang ramai menyebarkannya tanpa ada rasa tanggungjawab untuk bertanya kepada mereka yang pakar bagi mendapatkan kepastian sama ada ia benar atau palsu.

“Berdosa besar apabila seorang mukmin berdusta dengan nama Rasulullah SAW. Terbaharu, hadis palsu mengenai kebaikan 10 kelebihan bulan Muharam yang diviralkan bulan lalu. Tidak semuanya yang dinyatakan itu benar,” terangnya.

Fauzi juga sentiasa terbuka kepada sesiapa yang ingin mendapatkan kepastian mengenai kesahihan sesuatu hadis sama ada bertanya terus di dalam ceramah atau menerusi media sosial.

Bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap hadis, Fauzi berharap kerajaan dapat membangunkan sebuah IPT khusus yang menawarkan pengajian hadis.

Kongsinya, kewujudan IPT hadis berkenaan dapat mengimbangi pembelajaran mengenai al-Quran yang ditawarkan di hampir semua peringkat pengajian dari sekolah rendah hingga ke universiti.

“Saya sangat berharap sebuah IPT khusus untuk pengajian ilmu hadis dapat diwujudkan. Buat masa ini, pengajian hadis ada ditawarkan di beberapa IPT, namun tidak terlalu menyeluruh.

“Ini berbeza dengan negara luar seperti Jordan, Mesir dan Arab Saudi yang mempunyai IPT khusus menawarkan pengajian hadis secara menyeluruh,” terangnya mengakhiri bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN