PETALING JAYA – Pelakon dan penyanyi sensasi, Janna Nick mendedahkan dirinya pernah diganggu lelaki kurang siuman sehingga diekori orang yang sama sehingga ke depan rumah.
Janna atau nama lengkapnya, Nurul Jannah Muner juga mengakui, lelaki sama juga berkali-kali menghantar foto alat sulitnya menerusi direct message (DM) Instagram.
“Jujur cakap, sebagai seorang selebriti. Kalau saya buka atau baca DM, memang banyak benda pelik-pelik. Ada ‘siput sedut’ (alat sulit). Semua ada.
“Tapi terpulang kepada nak ulang siar (repost), nak tularkan atau kita tak ambil peduli pun. Saya ambil pendekatan untuk tidak ambil tahu langsung.
“Mereka nak hantar siput ke, kerang ke, itu mereka punya hal,” katanya kepada Kosmo! Online.
Cerita pelantun lagu Mungkin Saja itu, ada satu insiden yang masih basah dalam fikirannya tentang seorang peminat yang terlalu obses dengan dirinya.
Menurut Janna, perkara tersebut berlaku sekitar empat tahun lalu sewaktu terlibat dalam program Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL).
“Saya terlibat dengan uji bakat DFKL, orang yang hantar gambar ‘siput sedutnya’ datang uji bakat dan dia pilih saya untuk diuji bakat sama dengannya.
“Apabila saya periksa balik senarai DM Instagram, muka dia macam saya kenal dan rupa-rupanya, dia dah lama mesej saya.
“Saya macam, patutlah masa ‘briefing’, dia tengok saya lain macam. Itulah orang cakap, manusia dunia ini ada bermacam jenis kadang-kadang ada antara kita yang mungkin mempunyai masalah mental,” ujarnya.
Lebih parah, lelaki yang sama mengekorinya sampai ke rumah dan sanggup tunggu berjam-jam lamanya di pondok pengawal keselamatan semata-mata untuk berjumpa dengannya.
“Saya ‘touch down’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) sekitar pukul 1 pagi dan sampai rumah sekitar pukul 4 pagi. Kemudian, pengawal keselamatan di rumah maklumkan, ‘ada kawan you datang tunggu dari pukul 10 pagi sampai sekarang’.
“Pengurus saya pergi tengok dan rakam gambar lelaki berkenaan. Saya terkejut dia adalah individu sama yang hantar gambar ‘siput sedut’, sertai uji bakat DFKL dan kemudian, ekori saya sampai ke rumah,” kata Janna.
Sejak daripada insiden terbabit, Janna, 27, tidak mempunyai keberanian untuk keluar rumah bersendirian.
Pelakon drama rantaian Shakira itu bagaimanapun memaklumkan, realiti pahit harus ditelan bahawa dalam dunia ini ada bermacam manusia sedang sengsara dengan masalah mental yang menyebabkan hal sedemikian terjadi.
“Itulah manusia. Kita tak boleh nak kawal pemikiran manusia dan kita tak boleh kawal standard (piawaian) mentaliti manusia itu sendiri.
“Kalau manusia berkelakuan begitu, kita kena faham, mereka mungkin mempunyai masalah mental dan apa yang saya ceritakan sebenarnya dilakukan individu yang tak berapa sihat.
“Saya ambil pendekatan begitu. Mungkin dia tak sihat, berasa sunyi dan sebagainya. Sebenarnya, dari tulisan (dalam DM) pun kita boleh tahu yang dirinya tak normal atau mungkin tidak berkerjaya,” ujar Janna yang kini muncul dengan single terbaharu berjudul Gatal. – K! ONLINE














