Setiap kali terlihat sarang lebah tanpa mengira saiznya besar atau kecil, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran seseorang adalah untuk melarikan diri atau memusnahkan sarang lebah tersebut.
Ia adalah didorong oleh rasa takut terhadap serangga itu memandangkan lebah merupakan serangga penyengat yang berbahaya dan boleh menyebabkan maut.
Kes-kes penemuan sarang lebah sering kali berakhir dengan penghapusan kawanan lebah yang ditemui melalui kaedah pembakaran.
Namun, ramai yang tidak tahu bahawa serangga itu sebenarnya cukup penting dalam ekosistem alam dan perlu dipelihara sebaiknya.
Menyedari hakikat tersebut, sebuah organisasi penyelamat lebah dikenali sebagai MY Bee Savior – Penyelamat Lebah Malaysia (MY Bee Savior) yang merupakan pasukan sukarelawan penyelamat lebah telah ditubuhkan pada tahun 2019 dengan misi untuk memindahkan kawanan lebah yang ditemui di tempat awam dan berpotensi membahayakan kehidupan orang ramai ke lokasi lain bagi tujuan pelestarian lebah.
Selaku pengerusi sebuah organisasi sukarelawan pertama yang berperanan menyelamatkan serangga penghasil madu itu, Dr. Mohd. Norowi Hamid berkata, objektif utama penubuhan MY Bee Savior adalah untuk memindahkan lebah dari satu lokasi ke lokasi yang lain.

“MY Bee Savior ditubuhkan pada akhir tahun 2019 dengan matlamat menyelamatkan kawanan lebah sebagai satu bentuk pelestarian biodiversiti.
“Objektif utamanya adalah menyelaras operasi memindahkan sarang lebah dari kawasan seperti kediaman atau taman-taman awam ke satu kawasan lain demi kelestarian serangga itu tanpa sebarang caj,” katanya.
Namun, sekiranya pengadu yang menjumpai sarang lebah itu mahu menyimpan koloni lebah yang ditemui untuk dibawa pulang ke ladang ternakan, pihak MY Bee Savior akan meminta pengadu membayarkan kos penyediaan kotak haif atau kotak penyimpanan lebah.
Mengulas lanjut, Mohd. Norowi yang sebelum ini berkhidmat sebagai Pengarah Pusat Penyelidikan Sumber Strategik di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) berkata, usaha menyelamat lebah yang bersarang di kawasan kediaman daripada dihapuskan telah dimulakan sejak tahun 2015.
Ia dimulakan oleh sekumpulan saintis di MARDI sebelum diinstitusikan secara rasmi di bawah pusat penyelidikan itu.
Jelas Mohd. Norowi, selain daripada menghasilkan madu, lebah sebenarnya mempunyai peranan yang cukup besar dan penting dalam keseimbangan ekosistem hasil pendebungaan.
Lebah merupakan haiwan yang terletak dalam peringkat awal rantaian makanan di mana serangga itu melakukan proses pendebungaan pada bunga-bunga yang menghasilkan buah-buahan.
“Lebah akan melakukan proses pendebungaan pada tumbuh-tumbuhan seperti epal, oren dan rambutan sebelum tumbuhan tersebut dimakan oleh haiwan herbivor seperti tupai.
“Haiwan herbivor pula kemudiannya akan menjadi makanan kepada haiwan karnivor seperti singa atau harimau yang membentuk rantaian makanan lengkap,” katanya.

Sekiranya tiada proses pendebungaan daripada serangga seperti lebah, maka rantaian ekosistem alam akan terjejas.
Inisiatif murni itu juga akan membantu mengurus peningkatan populasi lebah dengan memindahkan serangga itu ke kawasan yang lebih sesuai.
“MARDI meningkatkan potensi komersial dengan mengembang dan memperkasa industri penternakan lebah madu dan lebah kelulut dengan memperkenalkan perkhidmatan pendebungaan daripada lebah serta menambah baik pengeluaran madu tualang selain madu hutan.
“Madu kelulut misalnya cukup terkenal dengan khasiatnya yang pelbagai, malah madu itu sendiri adalah merupakan satu makanan sunah,” katanya.
Mengulas tentang jenis lebah yang biasanya ditemui dalam proses menyelamat, Mohd. Norowi berkata, lebah tualang (Apis dorsata) lazimnya bersarang di tempat terbuka dan tinggi dari tanah. Kebiasaannya, satu sarang mengandungi hampir 100,000 ekor lebah.
Lebah cerana (Apis cerana) pula merupakan lebah yang paling sering dijumpai di negara ini dan akan bersarang di lubang-lubang sama ada di batang pokok atau di celah-celah siling bangunan. Setiap sarang mempunyai kurang daripada 10,000 ekor lebah.
Lebah kecil (Apis florea dan Apis andrenifornis) pula lazimnya bersarang di dahan pokok dan sarangnya berbentuk bulat.

Jenis lebah popular lain adalah lebah kelulut dan dua spesies paling lazim dipelihara di negara ini adalah Trigona itama dan Trigona thoracica.
Walaupun penghasilan madunya sedikit, namun khasiat madu daripada lebah jenis ini lebih tinggi berbanding madu lebah biasa. Ia lazimnya bersarang di lubang sama ada pada batang pokok atau tiang rumah.
Bercerita tentang kaedah menyelamatkan lebah yang dilakukan organisasi itu, Mohd. Norowi berkata, sebaik sahaja menerima laporan penemuan sarang lebah daripada orang awam, pihaknya yang sehingga kini sudah mengumpulkan kira-kira 250 orang sukarelawan dari seluruh negara akan menghantar petugas ke lokasi tersebut bagi kerja-kerja mengalihkan sarang lebah.
“MY Bee Savior akan bertanya kepada pengadu tentang saiz sarang lebah yang ditemui. Biasanya, kami sudah dapat meneka jenis lebah yang dimaksudkan berdasarkan keterangan dan saiz dimaklumkan pengadu sebelum menentukan sama ada ia perlu tindakan segera atau masih dikategorikan sebagai selamat dan tidak mengganggu persekitaran awam,” katanya.
Menurutnya, antara cabaran terbesar yang dihadapi pasukan itu adalah kelengkapan peralatan yang digunakan, lebih-lebih lagi bagi membabitkan penemuan sarang lebah di kawasan kediaman jenis apartmen atau kondominium.
“Kami pernah menerima kes membabitkan sarang lebah di tingkap sebuah kediaman jenis kondominium di Johor Bahru, Johor. Keadaan kediaman yang amat tinggi selain saiz sarang cukup besar menyebabkan kami perlu gunakan kren bagi proses mengeluarkan sarang lebah dengan selamat sebelum dipindahkan ke lokasi lain,” jelasnya.
Buat masa ini katanya, kawanan lebah itu dipindahkan buat sementara waktu di MARDI atau kepada beberapa usahawan lebah yang berminat untuk memelihara lebah-lebah tersebut.
Memandangkan penyimpanan sarang lebah lazimnya memerlukan lokasi yang luas, ia kelak akan dipindahkan di sebuah lokasi di Hulu Langat, Selangor yang menurut Mohd. Norowi akan dijadikan sebagai sebuah kawasan pemuliharaan lebah tidak lama lagi.
“Selain itu, kira-kira 10 sarang lebah yang sudah diselamatkan itu turut diletakkan buat sementara waktu di kediaman saya,” tutur Mohd, Norowi.
MY Bee Savior juga amat mengalu-alukan sumbangan orang ramai bagi tujuan pelaksanaan aktiviti sukarela seperti kempen kesedaran tentang kepentingan lebah dan membeli peralatan memindahkan sarang lebah.














