PETALING JAYA – Masalah kekurangan bekalan bahan mentah terutamanya ayam dan telur di pasaran yang dihadapi pengguna sejak kebelakangan ini, telah kembali stabil ekoran tindakan pantas pihak kerajaan.
Keprihatinan kerajaan yang sentiasa mendengar luahan dan rungutan rakyatnya, telah berjaya mengembalikan senyuman pada wajah dan tidak perlu bimbang lagi berdepan dengan masalah bekalan hasil ternakan itu kerana ia mencukupi untuk menampung permintaan pengguna.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Koperasi Pembangunan Peniaga Kecil Melayu Malaysia Berhad (Kopem), Dr. Ammar Hassan berkata, pihaknya berterima kasih atas inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri dan Hal Ehwal Pengguna kerana berjaya merangka strategi yang berkesan dalam menyelesaikan isu stok bekalan ayam dan telur yang menjadi dilema dalam kalangan peniaga sebelum ini.
“Kerajaan telah bertindak segera dan tidak membiarkan rungutan rakyat berpanjangan terutamanya mengenai stok bekalan bahan mentah yang tidak mencukupi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Selain itu, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyeru pengguna agar merancang pembelian barangan agar tidak membeli secara keterlaluan sehingga menyebabkan stok bekalan tidak mencukupi dalam tempoh tertentu.
Timbalan Presidennya, Mohd. Yusof Abdul Rahman menjelaskan, kadangkala pengguna sering terlibat dengan pembelian panik terutamanya menjelang musim perayaan atau berlaku sesuatu pelaksanaan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
“Pengguna dilihat membeli dengan jumlah yang banyak sehingga mengundang kepada pembaziran sekali gus menyebabkan stok bekalan berkurangan dengan cepat,” ujarnya.
Tambah Mohd. Yusof, pengguna diminta jangan risau kerana bekalan amat cukup untuk menampung semua permintaan dan pihak kerajaan sendiri telah melaksanakan pelbagai usaha seperti mengimport bekalan bahan mentah dari luar negara demi memastikan stok bekalan negara sentiasa ada.
Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N.V. Subbarow juga mengingatkan pengguna agar bijak berbelanja dan tidak cepat melatah jika stok bekalan bahan mentah berkurangan di kedai mahupun pasar raya.
Menurutnya, isu tersebut dianggap sebagai masalah tahunan yang sering berbangkit dalam kalangan pengguna, namun pihak berwajib sentiasa menjalankan tanggungjawab untuk memastikan setiap masalah dapat diselesaikan segera.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, rakyat tidak seharusnya menuding jari kepada kerajaan dalam semua perkara terutamanya berhubung isu kenaikan harga serta kekurangan bekalan bahan mentah.
“Kadang-kadang kita juga perlu faham kenaikan harga dan kekurangan bekalan ini mungkin di luar kawalan kerajaan dan harga barangan berpandukan kepada harga pasaran dunia,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap agar ada persepakatan di antara peniaga dan pengguna untuk mencari kaedah terbaik untuk memastikan bekalan mencukupi di pasaran.
















