PUTRAJAYA – Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi (KPPK) tekad untuk terus berusaha memperluaskan pasaran minyak sawit tempatan ke pasaran luar negara khususnya di Asia Barat seperti Turki dan Arab Saudi.
Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, ia susulan terdapat peningkatan pada jumlah eksport bahan tersebut ke Turki dengan 703,588 tan dicatatkan pada 2021 dan komitmen Arab Saudi untuk meningkatkan import minyak sawit tempatan kepada 500,000 tan yang dianggarkan mencecah RM1.5 bilion tahun ini.
“Peningkatan Minyak Sawit Mentah (MSM) selama dua hari berturut-turut pada paras RM5,750 setan iaitu tertinggi dalam sejarah industri sawit negara pada 3 dan 4 Februari lalu pastinya memberi khabar gembira dan keuntungan kepada hampir 400,000 pekebun kecil di seluruh negara.
“Peningkatan itu adalah bukti komitmen KPPK melalui agensi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) bersama Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) dalam membantu rakyat menerusi pelbagai inisiatif dan dasar kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, seiring dengan usaha memperluaskan pasaran bahan mentah tersebut beliau turut telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama beberapa syarikat antaranya Savola Group yang merupakan pengimport dan pengedar minyak makan terbesar di Arab Saudi.
“KPPK turut menjalinkan tiga bidang kerjasama termasuk pembinaan terminal penyimpanan tangki di Jeddah, menjadikan Arab Saudi sebagai hab eksport semula minyak sawit Malaysia dan kempen bersama bagi mempromosikan kebaikan minyak sawit Malaysia.
“Walaupun terdapat sekatan oleh Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah terhadap minyak sawit Malaysia, KPPK akan terus bekerja keras bagi memastikan kepentingan jangka panjang industri minyak sawit terjaga dan seterusnya membantu pekebun kecil kelapa sawit dan pihak berkepentingan lain,” tegas beliau.
Tambah Zuraida, rakyat negara ini perlu bersama-sama dalam usaha menangani propaganda anti-minyak sawit oleh negara-negara barat yang dengan jelas bertujuan untuk menjatuhkan industri minyak sawit negara.
“Kita perlu memastikan industri sawit negara akan terus menjadi antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negara,” katanya. -K! ONLINE