MERCEDES BENZ MALAYSIA sebelum ini telah memperkenalkan model A200 sedan yang menggunakan enjin dengan kapasiti 1.3 liter.
Baru-baru ini, penulis telah diberi peluang untuk memandu uji model itu selama beberapa hari.
Pada pandangan penulis, model paling asas yang ditawarkan dalam barisan Mercedes di Malaysia ini nampak agak menarik sebenarnya terutama bagi golongan eksekutif muda yang berkemampuan.
Bahagian luarannya, jika dibandingkan dengan generasi terdahulu, model ini jauh lebih segak kerana hadir dengan lampu depan lebih sepet yang kelihatan lebih ranggi, manakala lampu belakangnya tajam dan panjang ke dalam.
Model ini menggunakan rim aloi bersaiz 18 inci dan tayar 225/45, sudah cukup untuk menarik perhatian orang sekeliling untuk memandang kepada kereta sedan ini.

Walaupun kereta ini menggunakan enjin kecil, tetapi kuasa yang dihamburkan enjin 1.3 liter turbo itu mampu menghasilkan 163hp pada 5,500rpm dan tork sehingga 250Nm dari 1,620 hingga 4,000rpm.
Menggunakan transmisi tujuh kelajuan automatik, model ini mampu memecut dari pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 8.1 saat dan kelajuan tertinggi pula 230km/j.
Dari segi penggunaan petrol, untuk jarak perjalanan 100 kilometer (km), kereta dengan pacuan roda hadapan ini hanya berkapasiti 5.4 liter.
Masuk ke ruang kabin, banyak kemas kini yang telah diperkenalkan pada model terbaharu ini antaranya paparan besar bersaiz 12.3 inci terapung dengan rekaan corong pendingin hawa berbentuk turbin.
Menggunakan sistem infotainment Mercedes-Benz User Experience (MBUX) yang diberikan secara standard, skrin sesentuhnya terletak di tengah dengan sistem kawalan suara ‘Hey Mercedes’.
Model ini juga hadir dengan ciri-ciri Mercedes Me Connect untuk pasaran di Malaysia.

Walaupun ini merupakan model asas tetapi bukanlah terlalu kosong fungsi-fungsi yang ditawarkan. Bagi penulis, ia boleh dikatakan sudah memadai sebenarnya.
Sebagai contoh pemandu atau penumpang dalam kereta ini boleh memberi arahan untuk menetapkan pendingin hawa dan sistem navigasi yang dimulakan dengan sapaan ‘Hey Mercedes’.
Model ini menggunakan tona warna gelap dan tempat duduk separa buket yang adakalanya memberi mod muda (sekiranya pemandu berusia).
Tempat duduk pemandunya boleh dilaraskan dengan menggunakan butang yang terletak di tepi pintu. Ciri-ciri seperti model Mercedes Benz lain ini penulis suka kerana mudah dan senang untuk dilihat berbanding di sebelah kerusi seperti jenama-jenama lain.
Dari sudut praktikaliti, memandangkan ia sebuah sedan, sudah pasti jentera ini menawarkan ruang but yang luas. Ruang kargo A200 sedan ini berkapasiti 420 liter.
Kesimpulannya model sedan ini memberikan sentuhan-sentuhan yang nampak ringkas, tetapi jika anda perlu memilih varian ini, ia sudah memadai untuk kegunaan harian dari sudut keselesaan.
Enjin yang ditawarkan juga tidaklah terasa kurang tenaga, tetapi jangan dibandingkan dengan varian lebih tinggi yang sudah semestinya lebih berkuasa.
Dari segi pemanduan, model ini juga boleh digunakan sebagai kenderaan harian dengan saiznya yang tidak berapa besar.
Cadangan saya, kalau anda ada duit lebih dan inginkan yang lebih lengkap mungkin boleh pertimbangkan varian A250. Apa-apapun tengok kocek dan tanya cita rasa anda.














