fbpx
Gambar hiasan

Ramai bapa tunggal hidup terseksa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Isu mengenai hak penjagaan anak biasanya dikaitkan dengan golongan ibu tunggal, namun tidak ramai yang tahu golongan bapa tunggal juga berdepan dilema untuk mendapatkan lebih banyak ruang bersama anak tersayang.

Tidak hanya kehilangan kasih seorang isteri, golongan bapa tunggal turut terseksa dari segi mental apabila hak mereka untuk bertemu zuriat sendiri kurang mendapat pembelaan.

Salah seorang bapa tunggal yang mahu dikenali sebagai Malik, 42, berkata, dia hanya mampu menatap wajah anaknya selama 15 minit seminggu melalui panggilan video.

Katanya, pertemuan secara maya itu berlangsung pada setiap hari Rabu, namun sejak tiga tahun lalu, tempoh panggilan tersebut menjadi semakin singkat sehingga dia hanya mampu mendengar perkataan ‘Hi, Bye’ daripada anaknya.

“Saya memang terluka dan menderita, sudahlah tidak dapat bertemu anak, panggilan video pula menjadi sangat singkat.

“Anak saya berusia lima tahun dan saya tidak mahu dia membesar tanpa kasih sayang daripada seorang bapa,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Malik yang telah bercerai sejak empat tahun lalu berkata, dia sudah membuat rayuan kepada pihak mahkamah dan kini ha­nya menunggu keputusan sama ada boleh berjumpa dengan anaknya secara bersemuka ataupun tidak.

Bagi Roslan, 36, pula, kisah hidupnya sebagai bapa tunggal cukup menyeksakan apabila dia hanya diberi peluang bertemu anaknya yang masih kecil selama dua jam di ruang restoran.

Katanya, kekangan itu menyebabkan anaknya yang kini berusia enam tahun seakan-akan tidak lagi mengenali dirinya.

“Anak saya seperti tidak mempedulikan kehadiran saya langsung. Ditambah pula waktu Pe­rintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, langsung tidak dapat menatap wajahnya.

“Sudah enam tahun perkara ini terjadi dan saya juga ada turun naik mahkamah untuk buat rayuan, namun semuanya gagal dan perintah mahkamah masih sama,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang bapa tunggal yang dikenali sebagai Khairil, 30, menjelaskan, dia sen­tiasa menghormati perintah mahkamah yang memberi lebih hak penjagaan kepada bekas isterinya sekalipun kehidupannya sangat sunyi tanpa anak-anak.

“Saya bercerai dengan isteri selepas kami tidak lagi mempu­nyai persefahaman dan semua­nya berjalan lancar.

“Bagaimanapun, selepas isteri mendapat hak penjagaan anak tunggal kami, ruang untuk saya bersama zuriat sendiri semakin terbatas.

“Saya tidak boleh bersamanya untuk tempoh yang lama sedang­kan sebagai bapa, saya juga ada perasaan dan keinginan untuk membesarkan anak sendiri,” jelasnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN