LANGKAWI – Seorang kanak-kanak perempuan mengalami kecederaan pada kepala akibat terjatuh dari tingkat empat sebuah bangunan di Persiaran Putra, Kuah di sini pagi ini.
Ketua Bomba Zon Langkawi, Penguasa Bomba Mohd. Fadzullah Mohd. Noor berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada pukul 8.23 pagi.
Katanya, maklumat diterima daripada orang awam yang hadir ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Persiaran Putra yang terletak berhadapan dengan bangunan tersebut.
“Pegawai operasi mengarahkan enam anggota dari BBP Persiaran Putra dan BBP Langkawi bersama jentera ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, anggota bertugas memberi rawatan awal kepada mangsa yang berusia 12 tahun itu,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan pada kepala dibawa ke Hospital Sultanah Maliha di sini dengan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan lanjut. – K! ONLINE














