fbpx
Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat (tengah) menunjukkan antara dadah jenis syabu bernilai RM42.2 juta yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Tanjung Chat,Kota Bharu minggu lalu.

Bekalan dadah cukup untuk pasaran seluruh negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Polis percaya dadah bernilai lebih RM42.2 juta yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Tanjung Chat di sini minggu lalu cukup untuk bekalan seluruh penagih dadah di seluruh negara.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, rampasan melibatkan dadah jenis ganja seberat 1,293 kilogram (kg), syabu (972.4 kg) dan pil yaba sebanyak 11,800 biji.

“Dengan jumlah dadah yang dirampas ini, ia cukup untuk pasaran tempatan.

“Dadah yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran itu dirampas di sebuah rumah di Tanjung Chat pada pukul 10 malam yang dijadikan sebagai stor untuk simpanan sebelum ia diedarkan ke seluruh negara,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di sini hari ini.

Akhbar Kosmo! sebelum ini melaporkan cubaan membawa masuk dadah jenis syabu, ganja dan pil Yaba bernilai hampir RM66 juta ke dalam negara berjaya digagalkan Polis Diraja Malaysia dalam empat serbuan di Perlis, Kelantan dan Perak.

Serbuan dalam tempoh tiga hari sejak Selasa lalu itu turut membawa kepada pembongkaran empat sindiket pengedaran dan penyelupan dadah yang dipercayai menjadikan negeri bersempadan dengan negara jiran sebagai lalu seludup masuk bahan terlarang itu.

Dalam serbuan itu, Kelantan mencatatkan kejayaan besar apabila merampas bekalan dadah jenis syabu, ganja dan pil Yaba dalam dua serbuan berasingan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion di Kota Bharu.

Sementara itu, menurut Shafien, selain dadah, polis turut menjumpai sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dan sepucuk pistol jenis Glock bersama satu magazine berisi lapan butir peluru di dalam rumah tersebut.

Katanya, susulan daripada penemuan itu, polis telah membuat satu lagi serbuan di sebuah rumah di Wakaf Che Yeh sebelum menahan lima lelaki dan seorang wanita berusia dalam lingkungan 25 hingga 33 tahun pada pukul 2.30 pagi.

“Siasatan terhadap mereka mendapati rumah dan MPV yang digunakan itu disewa oleh sindiket berkenaan yang dijadikan tempat simpanan dadah sebelum ia diedarkan.

“Susulan daripada itu, kita masih memburu dalang sindiket tersebut berusia dalam lingkungan 30-an yang dipercayai masih berada dalam negara ini,” katanya.

Shafien berkata, selain dadah dan senjata api, polis turut menyita MPV jenis Vellfire, sebuah kereta jenis Perodua Myvi, sebuah motosikal jenis Yamaha 125ZR dan dua akaun bank suspek bernilai lebih RM205,558.

Tambahnya, kesemua suspek direman selama seminggu bermula Selasa lalu hingga esok untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI