fbpx
Rak yang menempatkan telur ayam kosong ketika tinjauan di Econsave, Johor Bahru semalam.

Pengguna resah rak telur ayam kosong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bekalan telur ayam pelbagai gred di seluruh negara kini bukan sahaja sema­kin berkurangan, malah kebanyakan pasar raya serta kedai runcit berdepan masalah kehabisan stok sehingga rak yang menempatkan telur ayam didapati kosong.

Situasi itu menyebabkan rata-rata pengguna yang ditemui mengeluh kerana sukar untuk mendapatkan bekalan telur ayam di pasaran ketika ini.

Para peniaga pula pening kepala kerana mereka terpaksa mencari pembekal lain bagi menampung permintaan pengguna setiap hari.

Di Johor Bahru, Johor, Pe­ngurus Besar Econsave Cash & Carry (Econsave), Mas Imran Adam berkata, masalah kekura­ngan stok telur ayam berlaku sejak awal Januari sehingga kini.

“Puncanya sebab pembekal tidak hantar, ada hantar pun dengan kuantiti sedikit, kita order 1,000 papan, mereka (pembekal) hantar 100 papan, mereka kata stok tiada.

“Semua jenis gred, kebanyakan rak di beberapa cawangan Econsave di Kluang, Johor Bahru tiada stok, terputus bekalan dekat se­minggu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mas Imran berkata, masalah itu dijangka berlarutan selepas Tahun Baharu Cina sehingga pertengahan Februari depan.

SEORANG pelanggan melihat stok telur yang terdapat di sebuah kedai.

Di Kuala Terengganu, Terengganu, tinjauan di beberapa pasar raya dan kedai runcit mendapati, bekalan telur ayam hampir terputus di kebanyakan premis sejak seminggu lalu.

Bukan sahaja telur ayam gred C dan D tiada di pasaran, malah telur gred A dan B yang jauh lebih mahal juga semakin kehabisan.

Seorang peniaga kedai runcit, Mohd. Nazmi Akmal, 44, berkata, pelanggannya sebelum ini terpaksa beralih kepada telur ayam gred A dan B selepas gred lebih rendah kehabisan stok.

“Sejak penularan Covid-19, memang ramai pelanggan saya memilih telur ayam gred C dan D kerana harganya lebih murah.

“Begitupun, mereka terpaksa beralih kepada telur ayam gred A dan B yang berharga 41 hingga 42 sen sebiji, tetapi bekalan itu pun sudah semakin berkurangan di kedai saya,” katanya.

Dakwanya, isu kekurangan te­lur ayam itu berpunca daripada tindakan segelintir pemborong yang berkemungkinan menyekat bekalan bagi memanipulasi harga menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.

Seorang pengguna, Abd. Ghani Hashim, 39, pula mengakui ke­tiadaan telur ayam amat memberi kesan kepada keluarganya.

“Telur ayam merupakan sumber protein termurah dan paling mudah dimasak untuk seisi ke­luarga yang sibuk seperti saya.

“Susah hendak cari telur ayam sekarang, saya terpaksa pulang hampa kerana rak telur di ba­nyak kedai runcit dan pasar raya di bandar raya ini terbiar kosong,” ujarnya.

Di Bangi, Selangor, tinjauan mendapati, pasar raya Econsave Bangi misalnya turut kehabisan stok telur 30 biji satu papan.

Hanya beberapa stok telur 10 biji satu bungkus masih berada di rak di pasar raya tersebut.

Seorang petugas pasar raya itu memaklumkan, sudah dua hari pasar raya itu kehabisan telur 30 biji satu papan.

“Dua hari lepas, mereka ada letak satu palet telur stok 30 biji satu papan, tetapi sekejap sahaja habis dibeli. Selepas itu sudah tiada lagi, hanya tinggal telur satu bungkus 10 biji,” katanya.

Rak menempatkan bekalan telur di sebuah premis di Bangi.

Di George Town, Pulau Pinang, seorang pengguna, Norhayati Mahmud, 60, berkata, dia jenuh mencari bekalan telur ayam di sekitar premis peruncitan yang terdapat berdekatan rumahnya di Bayan Lepas sejak minggu lalu.

Katanya, setakat ini, hanya telur ayam gred C yang boleh diperoleh, namun kualitinya pula kurang memuaskan.

“Pening kepala mencari bekalan telur ayam ketika ini. Jika ada pun kebanyakannya perlu dipilih disebabkan ada yang sudah rosak termasuk busuk dan pecah.

“Mencari telur ayam macam mahu beli mi­nyak masak peket bersubsidi yang susah diperoleh sebelum ini. Ada peniaga di pasar sudah tidak mahu jual kerana harganya tidak stabil dan ada pula yang menunggu bekalan itu dihantar ke kedai,” katanya.

Seorang penyelia pasar raya mini yang mahu dikenali sebagai Rina, 34, pula memberitahu, sudah lebih seminggu menunggu penghantaran stok telur ayam gred B di premisnya.
“Rak telur yang kosong terpaksa digantikan dengan telur ayam kampung. Majoriti pelanggan datang mencari telur ayam gred B berbanding A, C dan D,” jelasnya.

Di Batu Gajah, Perak, seorang peruncit, Ramli Lodin, 50, terpaksa mencari pemborong telur ayam yang lain kerana stok daripada pembekal asal telah terputus sejak seminggu lalu.

“Sepatutnya semalam, pembekal hantar telur ayam, tetapi mereka kata tiada stok buat masa ini.

“Kebiasaannya, saya menjual telur ayam gred B, tetapi disebabkan kehabisan bekalan, maka terpaksa mengambil telur gred AA,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN