Pikap D-Max Auto Plus pacuan dua roda dengan enjin 1.9 liter oleh Isuzu ini mungkin dianggap ‘lemah’, namun ia sebenarnya mempunyai prestasi dan elemen yang memadai bagi mereka yang memerlukan sebuah pikap ringan untuk membawa barang dan penumpang.
Ia ditambah pula dengan pelbagai fungsi bantuan pemanduan elektronik yang mampu melancarkan pemanduan.
Model ini turut hadir bersama pemijak sisi yang disediakan sekali, bampar depan dengan gril warna matte grey, bampar belakang dengan warna kenderaan dan rim bersaiz 17 inci dengan rekaan menarik.
———————————————————————————————————————————————-
SEBELUM melakukan pandu uji pikap Isuzu D-Max Auto Plus 4X2, penulis merasakan model ini mungkin untuk mereka yang inginkan gaya semata-mata.
Namun, persepsi tersebut berubah selepas memandu sendiri hampir seminggu pikap pacuan dua roda dengan enjin 1.9 liter ini.
Jika kita lihat pada namanya yang memaparkan karakter, mungkin nampak lemah dengan enjin yang kecil serta tanpa pacuan semua roda yang sinonim dengan pikap lain.
Apa yang penulis cuba fahamkan dalam situasi ini ialah keperluan membeli kenderaan itu sendiri.

REKAAN hadapannya dengan bampar depan bergril warna matte grey tampak bergaya.
Sebagai contoh, ramai yang membeli pikap dengan kapasiti enjin 3.0 liter tetapi hanya untuk pergi balik kerja atau memiliki pikap yang berpacuan empat roda tetapi tidak pernah masuk offroad.
Itu bukanlah satu ayat penyata, tetapi hanyalah sandaran untuk kita mengukur sejauh mana perlu mendapatkan sesuatu pikap atau spesifikasi pikap yang sudah memadai.
Apapun jika anda membeli sesebuah pikap lantaran minat untuk memilikinya dan bukan terikut-ikut ‘racun’ rakan-rakan, abaikan kenyataan tersebut.
Kenderaan jenis pikap lazimnya digunakan oleh mereka yang memerlukan sebuah pengangkutan untuk membawa banyak barang dan dalam masa sama boleh membawa penumpang dengan kapasiti lima orang termasuk pemandu.
Kenderaan jenis ini juga kebiasaannya digunakan oleh syarikat-syarikat untuk pekerja mereka gunakan sebagai kenderaan pergerakan.

Berbalik kepada pandu uji, baru-baru ini penulis telah diberi peluang untuk memandu uji pikap ini bagi membuat penilaian.
Persepsi lazim bagi model dalam kategori asas ialah jentera sebegini tidak banyak ciri menarik ditawarkan kerana penjimatan kos.
Bagi Isuzu D-Max Auto Plus, dari segi luaran, model ini hadir dengan lampu hadapan Bi-LED Projector dengan fungsi lampu Follow-Me-Home dan lampu kabus, cermin sisi serta lampu isyarat (tanpa auto folding).
Model ini turut hadir bersama pemijak sisi yang disediakan sekali, bampar depan dengan gril warna matte grey, bampar belakang dengan warna kenderaan dan rim bersaiz 17 inci dengan rekaan menarik.

RUANG dalam D-Max Auto Plus 4×2 boleh dikatakan agak selesa selain dilengkapi paparan infortainment bersaiz tujuh inci.
Sejujurnya, penulis sukakan rekaan rim ini berbanding varian X-Terrain.
Masuk ke bahagian dalam, penulis agak terkejut kerana model ini turut hadir dengan paparan pelbagai maklumat (MID) bersaiz 4.2 inci yang sama dengan varian tertinggi D-Max.
Di bahagian stereng, butang kawalan yang disertakan meliputi Audio, Bluetooth Hands Free, Voice Recognition dan MID. Selain itu, mod tukar laluan turut hadir bagi varian ini.
Berbanding X-Terrain, pikap ini hanya diberikan skrin infortainment bersaiz tujuh inci dengan sambungan USB, Bluetooth, WiFi, MirrorLink, Miracast, Apple CarPlay dan Android Auto Connectivity.
Bagi penulis, ciri-ciri ini sudah memadai kerana turut disertakan bersama kamera undur.

Secara peribadi penulis berpandangan, kamera undur perlu untuk sebuah pikap bagi memudahkan pemandu untuk meletakkan kenderaan yang agak besar ini dengan penuh yakin.
Turut hadir enam pembesar suara, unit kawalan penghawa dingin jenis manual serta tempat duduk pemandu dan penumpang jenis fabrik.
Untuk makluman, panjang pikap ini ialah 5,265 milimeter (mm), lebar (1,870mm), tinggi (1,785mm) dan jarak antara roda (3,125mm). Penulis difahamkan pikap ini boleh melalui kedalaman air setinggi 800mm.
Sebenarnya apa yang menarik, varian ini 85 kilogram (kg) lebih ringan berbanding varian pacuan empat roda dengan menggugurkan beberapa elemen seperti transfer case, differential depan dan sistem pacuan sampingan. Ia sekali gus menjadikan D-Max Auto Plus 4×2 1.9L hanya mempunyai berat 1,830kg.

Isuzu D-Max Auto Plus 4×2 ini menggunakan enjin diesel RZ4E-TC 1.9 liter yang menghasilkan 150PS pada 3,600rpm dan 350Nm tork antara 1,800 hingga 2,600 rpm.
Untuk satu tangki berkapasiti 76 liter diesel, penulis berjaya bergerak sejauh 985 kilometer dengan pelbagai permukaan jalan seperti lebuh raya, jalan bandar dan jalan kampung.
Penulis percaya, kalau di lebuh raya dengan pemanduan yang lebih cermat, pikap ini boleh bergerak lebih jauh.
Bagi memberi lebih prestasi dinamik dan keyakinan dalam pemanduan, jentera ini turut dilengkapi ciri bantuan pemanduan elektronik seperti Sistem Brek Antikunci (ABS), Agihan Daya Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Bantuan Mula Mendaki (HSA), Bantuan Menuruni Curam (HDC) dan Sistem Override Brek (BOS).

Kesimpulannya, penulis berasa pikap ini satu tawaran hebat Isuzu Malaysia terutama bagi memberikan persaingan kepada jenama-jenama pikap dari China yang turut menawarkan sekitar harga model ini.














