TATKALA orang lain sedang lena diulit mimpi, seorang pekerja kebun sudah memulakan kerja-kerja pendebungaan dengan memindahkan debunga dari satu pokok buah naga ke pokok buah naga yang lain.
Bertemankan bunyi unggas dan suasana malam dingin berkabus, pekerja tersebut yang mesra disapa Kadil mengumpul butir-butir debunga pokok buah naga itu menggunakan berus halus.
Berbekalkan lampu suluh kecil yang disematkan di kepala, Kadil dan sembilan lagi pekerja kebun lain melaksanakan tugas itu dengan cekap dan penuh cermat.
Meskipun perlu bekerja dalam kegelapan malam, mereka berjaya melakukan kerja pendebungaan pada bunga buah naga itu yang hanya mekar dari pukul 12 tengah malam hingga 5 pagi.
Menurut Kadil, pendebungaan buatan dengan memindahkan debunga dari satu pokok ke pokok lain bertujuan menjadikan buah naga lebih besar dan manis.
“Kerja ini bagaimanapun hanya boleh dibuat pada waktu tengah malam kerana dalam tempoh itu sahaja kelopak bunga buah naga mekar.
“Apabila matahari naik, kelopaknya yang boleh mengembang sehingga 20 sentimeter akan menguncup sepanjang hari sehingga malam muncul semula,” katanya kepada Panorama di sebuah kebun buah naga di Sepang, Selangor.

Berpengalaman lebih 10 tahun bekerja di Kebun Buah Naga HL, Kadil berkata, dia turut dipertanggungjawabkan untuk memastikan tanaman buah naga di kebun seluas hampir lima hektar di Sepang itu sentiasa baik dan dibaja mengikut waktu.
Kata Kadil, tumbuhan buah naga memiliki ciri-ciri fizikal seperti pokok kaktus yang mempunyai duri di sepanjang batangnya yang lurus dan berwarna hijau tua.
“Justeru, kerja pendebungaan dan memetik buah naga yang telah ranum perlu dibuat secara berhati-hati.” ujarnya.
Terima pengunjung
Sementara itu, Pengurus Kebun Buah Naga HL, Eugene Chia, 23, berkata, duri pada batang tumbuhan buah naga itulah yang mengeluarkan tunas dan mengambil masa kira-kira seminggu untuk berbunga.
“Dalam tempoh empat ke lima hari, ovari buah akan bertukar warna menjadi kekuningan jika pendebungaan tidak berjaya.
“Jika berjaya, buah akan membesar dan dalam masa seminggu bunganya pula semakin layu sebelum gugur,” katanya.

Bercerita lanjut, Eugene berkata, buah naga atau spesies Hylocereus daripada keluarga kaktus itu mengambil masa kira-kira 30 hari untuk matang sepenuhnya sebelum boleh dipetik.
Katanya, berbeza dengan bunganya yang mekar pada waktu malam, tumbuhan itu secara semula jadi tahan terik cahaya matahari dan boleh hidup subur dalam iklim panas.
“Cuaca panas akan mempercepat proses pembesaran buah sekali gus memendekkan tempoh tuaian.
“Buahnya diketahui sudah ranum dengan melihat kulitnya yang berkilat, berwarna merah, tidak berduri serta bentuknya bulat. Kulitnya juga senang ditanggalkan seperti pisang apabila dikupas,” katanya.
Eugene berkata, buat masa ini, terdapat lebih 3,300 pokok ditanam di kebun milik keluarganya itu dengan pengeluaran kira-kira 1.8 tan metrik sebulan.
Katanya, terdapat tiga jenis tanaman buah naga di kebun itu iaitu Hylocereus undatus (buah naga kulit merah, isi putih), Hylocereus costaricensis (kulit merah, isi merah) dan Hylocereus megalanthus (kulit kuning, isi putih).
Tambahnya, tanaman itu boleh hidup subur di tanah berpasir dan tanah gembur berpasir yang kaya bahan organik dengan nilai pH antara 5.3 hingga 6.7.
“Tanah dengan tahap keasidan tinggi tidak sesuai kerana dikhuatiri buah akan menjadi masam,” ujarnya.

Justeru, tidak hairanlah kebanyakan tanah di sepanjang jalan menuju ke Bagan Lalang, Sepang diusahakan sebagai kebun buah naga sehingga daerah tersebut cukup sinonim dengan penanaman buah tersebut. Hampir 10 pengusaha tanaman buah naga boleh didapati di kawasan tersebut yang kaya dengan tanah berpasir.
Menyedari keunikan tanaman buah naga, Eugene berkata, kebunnya turut memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai sendiri pengalaman mendebungakan, memetik dan menanam buah itu menerusi temu janji bersama pihak kebun.
Katanya, bagi aktiviti pendebungaan, pengunjung perlu datang seawal pukul 5 pagi bagi membolehkan mereka melihat sendiri keindahan bunga buah naga yang juga digelar midnight beauty itu.
“Pengunjung juga boleh memetik buah naga apabila tiba musimnya,” ujar Eugene sambil memberitahu buah naga berbuah sebulan sekali.
Pengunjung yang berminat untuk mempelajari kaedah menanam buah naga juga boleh mengikuti aktiviti semaian yang disediakan.

Mereka boleh berbuat demikian dengan membeli pasu serta keratan batang bagi membolehkan pokok yang sudah ditanam dibawa pulang ke rumah masing-masing.
Di samping itu, Eugene berkata, pengunjung juga berpeluang membuat adunan doh pau gergasi buah naga yang menjadi hidangan signatur di restoran HL.
“Selain boleh dinikmati begitu sahaja, buah naga juga sesuai dibuat salad dan dijadikan bahan asas dalam hidangan lain,” katanya.
Tambahnya, buah naga memiliki pigmen semula jadi daripada likopen dan beta karotena yang boleh menyerlahkan warna dan rasa sesuatu makanan. Nutrisi makanan juga bertambah menerusi khasiat buah naga yang terbukti kaya dengan serat, kalsium, magnesium serta vitamin A dan C.
Buah naga di kebun itu juga diinovasikan menjadi produk-produk seperti minuman, teh uncang dan kerepek.














