PETALING JAYA – Ketika ramai pihak mengeluh selepas kehilangan sumber rezeki sepanjang pandemik Covid-19, nasib berbeza sebaliknya dirasai peneroka dan pekebun kecil kelapa sawit apabila mereka kini menikmati kenaikan mendadak bagi harga jualan Buah Tandan Segar (BTS) komoditi itu.
Berdasarkan data semasa, harga jualan BTS sawit pada masa ini adalah melebihi RM1,000 bagi setiap satu tan metrik, sekali gus memberi kelegaan kepada kira-kira 500,000 peneroka dan pekebun kecil sawit di seluruh negara.
Dengan harga BTS setinggi itu, golongan berkenaan yang selama ini tersepit untuk menjana pendapatan kini mampu meraih pendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM6,000.
Di Maran, Pahang, Pengerusi Biro Sosial Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, harga BTS yang tinggi pada 2021 memberikan kelegaan kepada peneroka di seluruh negara.
“Di harap tahun 2022 ini harga BTS terus melebihi RM1,000 setan sebagaimana rujukan harga yang yang dicatatkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada 3 Januari 2022 iaitu purata Semenanjung Malaysia adalah RM1,072.12 per tan, manakala Sabah dan Sarawak pula berharga RM972.81 per tan.
“Dengan pendapatan yang baik ini, golongan peneroka dan pekebun kecil amat bersyukur dan dapat hidup dengan lebih selesa bagi menampung keperluan harian,” katanya.
Razak yang juga Ketua Peneroka Felda Jengka 24 berkata, ketika ini peneroka di Wilayah Jengka memperolehi purata tiga hingga enam tan sawit sebulan dalam musim buah sawit melawas berbanding enam hingga 12 tan sebelum ini.

Di Kota Tinggi, Johor, seorang peneroka di Felda Air Tawar 3 di sini menyifatkan harga sawit yang diterima ketika ini adalah yang tertinggi pernah dinikmati sepanjang 45 tahun mendiami tanah rancangan itu.
Sahaman Biran, 73, berkata, kini ada dalam kalangan peneroka yang mampu meraih sehingga RM10,000 sebulan selepas kenaikan harga sawit melambung tinggi sejak hujung tahun lalu.
“Syukur Alhamdulillah. Saya kini mampu meraih sehingga RM5,000 sebulan selepas sudah ditolak hutang dan sebagainya.
“Sebelum ini, saya pernah memperoleh pendapatan sekitar RM300 sahaja iaitu pendapatan paling rendah selepas peralihan kuasa kerajaan berlaku,” katanya.
Sahaman berkata, lebihan hasil yang diperoleh itu disimpan sebagai persediaan untuk memulakan proses tanaman semula sawit yang dijangka mengambil masa kira-kira lima tahun lagi.
Katanya, sebelum ini, peneroka akan meminjam dengan pihak Felda sebanyak RM1,000 sebulan untuk wang sara hidup.
“Biasanya sawit ambil masa tiga tahun untuk membesar, jadi sepanjang tempoh itu, kami terpaksa meminjam dengan Felda.
“Buat masa ini, saya rancang untuk menyimpan agar dapat digunakan bagi keperluan sara hidup ketika pokok sawit ditebang nanti,” katanya.
Di Rantau Panjang, Kelantan, seorang peneroka, Abdul Razak Abas, 80, yang mengusahakan ladang seluas 0.8 hektar mengakui, peningkatan harga komoditi sawit cukup melegakan dan memberi peluang kepada mereka menambah tabungan.
“Sejak harga naik pada penghujung tahun lalu, saya dapat nikmati untung bersih mencecah RM1,000 satu tan selepas ditolak upah mengait buah sawit.
“Hasil jualan sawit itu juga dapat saya gunakan untuk menaikkan lagi jumlah pengeluaran pada masa hadapan,” katanya.
Bagi Mohammad Abas, 68, pula, dia berharap kenaikan harga komoditi itu dapat berkekalan untuk tempoh yang panjang.
“Dengan adanya hasil sawit ini, dapatlah saya gunakan untuk belanja seharian selain bagi tujuan simpanan terutama jika ada kecemasan.
“Peluang sebegini tidak selalu ada dan sekarang giliran kami pula untuk membuat simpanan,” tambahnya.














