BENTONG – Lebih 300 penduduk dari Kampung Chegar Medang di sini, kini mula merasai kesan sebenar di sebalik segala kemusnahan rumah dan harta benda susulan banjir besar yang menenggelamkan sebahagian daerah itu bulan lalu.
Tidak hanya menanggung kerugian puluhan ribu ringgit selepas barang dan kenderaan musnah ditenggelami air, ada juga penduduk yang reda untuk tinggal di kediaman ala kadar semata-mata untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Antara yang menanggung keperitan itu adalah sebuah keluarga yang terpaksa bersesak di ruang sempit seluas 20 meter persegi selepas kediaman asal musnah akibat banjir.
Zulmi Abdul Aziz, 58, berkata, dia bersama sembilan ahli keluarganya kini tinggal menumpang di ruang gerai makanan miliknya yang terletak di hadapan rumah.
“Selepas banjir surut, kami anak beranak berpindah ke gerai yang saya bina untuk berniaga memandangkan rumah kayu yang kami diami selama ini rosak teruk dan tidak boleh didiami.
“Di sinilah kami tidur dan memasak serta makan, walau dalam keadaan sempit, kami tidak mempunyai pilihan lain,” katanya kepada Kosmo! kelmarin.
Menurut Zulmi, pada masa ini, dia tinggal di ruang gerai berkenaan bersama isteri dan dua anak yang masih bersekolah selain dua keluarga anaknya yang sudah berkahwin.
Katanya, dengan hanya bekerja sendiri sebagai tukang rumah, dia akui telah kehilangan pendapatan tetap sehinggakan tidak mampu untuk membeli barang-barang bagi membaik pulih rumah asalnya.
“Saya harap segala bantuan dapat dipercepatkan, kalau dapat bantuan barang rumah pun cukup untuk saya mula membina semula rumah kami yang musnah.
“Saya memang terkesan teruk kerana semua mesin dan peralatan kerja telah musnah sama sekali termasuklah kereta yang biasa saya gunakan untuk bekerja,” katanya.
Menceritakan kembali kejadian banjir yang berlaku hampir sebulan lalu, beliau mengakui kejadian kali ini adalah yang terburuk selepas musibah pada 1971.
Katanya, dalam kejadian baru-baru ini, dia tidak sempat menyelamatkan barang-barang berharga memandangkan air naik dengan begitu cepat sehingga menenggelamkan rumahnya.
“Kalau dahulu masa banjir besar 1971, air di jalan raya hanya setinggi setengah meter, tetapi kali ini, air naik berkali-kali ganda. Kejadian kali ini juga amat teruk kerana membawa bersama lumpur,” ujarnya.
Berkongsi pengalaman sama, seorang guru, Aini Jamin, 44, berkata, meskipun kesan banjir masih terasa selepas semua barangan dan peralatan rumah musnah, namun dia tetap meneruskan kehidupan termasuk hadir ke sekolah seperti biasa.
Bagaimanapun, katanya, dia terpaksa meminjam kereta untuk ke sekolah selepas kenderaan miliknya rosak akibat banjir.
“Saya akan meneruskan kerja mencuci barang rumah dan kain yang masih berlumpur pada waktu malam dan menunaikan tanggungjawab sebagai seorang guru pada siang hari,” ujarnya.-K ONLINE
















