SETELAH hampir berbelas tahun tidak memegang dan membaca al-Quran, terdetik di hati seorang pemuda yang dikenali sebagai Syafiq untuk kembali membuka kalam Allah itu.
“Kali terakhir saya membaca al-Quran adalah ketika kecil apabila disuruh mengaji oleh kedua-dua orang tua saya.
“Apabila meningkat dewasa dan sibuk dengan urusan dunia, saya alpa dan tidak pernah membacanya kembali,” ujarnya yang kini berusia awal 30-an.
Syafiq menjelaskan, dia mengakui bacaannya tidak lancar dan lupa tentang hukum tajwid.
Daripada situ, dia berasakan perlu kembali untuk mendalami al-Quran.
“Pada mulanya saya malu untuk belajar di kelas pengajian kerana usia semakin meningkat.
“Ketika melayari media sosial, saya terlihat satu iklan tentang aplikasi MengajiOnline.com. Di situ, saya boleh mengikuti kelas mengaji secara online secara peribadi,” katanya.
Menurutnya, tanpa melengahkan masa, dia mendaftar untuk mengaji secara online bagi membolehkannya membaca al-Quran dengan lancar dan sempurna berserta hukum tajwid.
Platform MengajiOnline.com diiklankan sebagai kelas mengaji al-Quran online terbesar di negara ini dengan lebih 1,000 tenaga pengajar dan lebih 20,000 pelajar mendaftar sehingga kini.
Platform ini juga dikatakan mempunyai capaian sehingga 30 buah negara. Pelajarnya turut melibatkan rakyat Malaysia yang berada di luar negara.
Dalam pada itu, pengasas platform MengajiOnline.com, Muhammad Akram Afifi Mohd. Salleh berkata, dia membangunkan aplikasi itu bagi membolehkan lebih ramai umat Islam di luar sana dapat belajar membaca al-Quran secara betul dan mudah.

Ujarnya, kitab suci itu perlu dibaca dengan betul, kadangkala masyarakat mengambil mudah perkara itu.
“Ada dua kesalahan biasa dilakukan oleh kita iaitu kesalahan kecil dan besar.
“Kesalahan kecil adalah dari segi dengung yang tidak sempurna, manakala untuk kesalahan besar apabila tersalah sebutan sehingga mengubah makna dan membawa maksud lain,” jelasnya.
Tambahnya, itu sebab perlu belajar membaca al-Quran dengan betul bagi membolehkan kesalahan itu dapat dielakkan.
Oleh itu, untuk mendalami bacaan al-Quran dengan betul, harus belajar daripada guru-guru berkelayakan.
Dalam pada itu, Akram Afifi menjelaskan, melalui aplikasi yang dibangunkan itu, pengguna boleh memilih ustaz atau ustazah untuk mengajar mereka mengaji.
“Pengguna boleh menetapkan sendiri guru-guru yang berdaftar dengan kami. Kesemua guru yang berdaftar ini berkemahiran dan terlatih untuk mengajar.
“Selain itu, melalui platform itu juga, pengguna boleh memilih waktu untuk sesi pembelajaran mengikut kesesuaian masa mereka. Pengguna juga boleh memilih untuk menyertai pembelajaran secara berkumpulan atau persendirian,” katanya.

Tambahnya, medium pengajian secara online juga boleh ditentukan sendiri oleh pengguna sama ada untuk menggunakan Google Meet, Zoom atau lain-lain platform.
Melalui, platform MengajiOnline.com, pengguna bukan sahaja boleh mendalami ilmu bacaan al-Quran, sebaliknya turut belajar ilmu berkaitan fardhu ain, tarannum, qiraat, tadabbur dan bahasa Arab.
Akram Afifi menjelaskan, selain itu dari segi bayaran, pelajar boleh tetapkan sendiri yuran yang mereka ingin bayar.
“Kami tidak menetapkan sebarang kadar bayaran yuran. Sebaliknya, melalui aplikasi ini, pelajar boleh membayar yuran mengikut kemampuan mereka.
“Alhamdulillah, walaupun kami tidak menetapkan sebarang kadar yuran, Allah mempermudahkan segala urusan yang mana kami masih berkemampuan untuk membayar upah tenaga pengajar,” ujarnya yang berasal dari Pendang, Kedah.
Sehingga kini, MengajiOnlie.com mempunyai lebih 1,000 tenaga pengajar bertauliah dan terlatih.
Akram Afifi berkata, platform itu juga membantu tenaga pengajar untuk menjana pendapatan tambahan.
“Kami melakukan saringan terlebih dahulu sebelum memeka mengajar di platform ini. Kami akan meminta mereka menghantar bacaan al-Quran terlebih dahulu untuk dinilai. Mereka juga akan diberi ujian khas. Jika lulus, baru diberi kebenaran untuk menjadi sebahagian tenaga pengajar,” jelasnya.
Dalam pada itu, berbicara tentang idea membangunkan platform MengajiOnline.com, Akram Afifi menjelaskan, dia sebenarnya berhasrat untuk membangunkannya sejak 2016, tetapi disebabkan beberapa kekangan, dia hanya mampu memendam hasrat itu buat seketika.

Namun, pada Januari 2020, Allah telah membuka jalan kepadanya dan dia berjaya merealisasikan impian untuk membangunkan platform tersebut.
Selain itu, Akram Afifi juga berkata, visinya membangunkan platform ini adalah berdasarkan surah al-Qasas ayat 77 yang bermaksud.
“Dan carilah pahala negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi janganlah kamu lupakan bahagian mu di dunia dan berbuat baik kepada orang lain sebagaimana Allah telah berbuat baik kepada mu dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sungguh, Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan”.
Daripada ayat itu, Akram Afifi menjelaskan, Allah mahu kita untuk mengejar akhirat, tetapi pada masa sama jangan tinggalkan dunia.
“Saya berasakan kedua-duanya perlu seiring. Jadi, saya mengambil keputusan untuk membangunkan platform yang boleh memberi pahala akhirat dan dalam masa sama, menyediakan kemudahan kepada orang lain di dunia.
“Selain itu, tujuan utama saya untuk membangunkan platform ini adalah untuk membantu seramai mungkin orang di luar sana untuk belajar mengaji al-Quran dengan betul,” jelasnya.
Sementara itu, ujar Akram Afifi, dia percaya jika usaha dilakukan adalah untuk mendekatkan diri orang ramai dengan Sang Pencipta, Allah memberi jaminan ia tidak akan rugi seperti mana yang disebut dalam surah Fatir ayat 29 yang bermaksud.
“Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah dan melaksanakan solat serta menginfakkan sebagian rezeki yang Kami anugerahkan kepadanya dengan diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perdagangan yang tidak akan rugi.”
Jelasnya, jika dihitung di atas kertas, mungkin dia mengalami kerugian kerana tidak menetapkan sebarang yuran.
“Tetapi Allah mempermudahkan perjalanan saya dan usaha yang dijalankan hingga mampu bertahan hingga sekarang,” katanya.
Dalam pada itu, Pertubuhan Kasih Neelofa antara organisasi yang membantu Akram Afifi untuk mendapatkan dana bagi membolehkan ia disalurkan sebagai yuran kepada golongan kurang berkemampuan untuk belajar mengaji di platform itu.
Selain itu, aplikasi TheNoor membantu pihaknya dengan menyediakan fungsi infaq untuk orang ramai melakukan sumbangan bagi program pengajian di platform miliknya.
















