PASANGAN suami isteri, Weiyein Leong dan Eugene Tham bertindak membuka kelas mini di Craftiviti bagi membolehkan orang ramai menimba ilmu pembuatan 20 barangan penjagaan diri seperti sabun, wax atau lilin, pelembap bibir dan deodoran menggunakan bahan semula jadi.
Ia kini menjadi trend membolehkan pengguna berjimat dengan menghasilkan sendiri barangan penjagaan diri yang boleh dikatakan agak mahal di pasaran ketika ini.
Aktiviti seperti ini bukan sahaja membolehkan individu mengawal setiap bahan yang diletakkan pada produk penjagaan diri mereka, tetapi juga sebagai salah satu kaedah menghilangkan tekanan dan menambah ilmu.
—————————————————————————————————————————————-
BAU harum yang menusuk rongga hidung seakan mengalu-alukan kedatangan kru K2 tatkala kaki menginjak masuk ke dalam gedung barangan kraf Craftiviti yang terletak di aras satu sebuah bangunan di 10 Boulevard, Petaling Jaya, Selangor.
Sambil menunggu ketibaan pemilik premis yang merupakan pasangan suami isteri, Weiyein Leong dan Eugene Tham, sorotan mata kami mula meliar memerhatikan setiap barangan yang memenuhi ruang berkeluasan kira-kira 120 meter persegi itu.
Di satu sudut penjuru ruang yang tergantung papan tanda Crafti Express pada kaunternya, kelihatan beberapa kanak-kanak sedang leka menghasilkan pelembap bibir dan wax atau lilin sambil dibantu oleh seorang petugas.
Sekali-sekala, kedengaran suara tawa riang.
Melihatkan suasana di dalam premis tersebut, hati kami menjadi teruja.
Mana tidaknya, selain membekalkan barangan kraf, Craftiviti yang merupakan pusat sehenti bagi barangan seni dan kraf itu juga merupakan ruang yang membolehkan individu mempelajari dan menghasilkan sendiri produk penjagaan diri menggunakan bahan-bahan semula jadi dan selamat.
Tidak keterlaluan jika dikatakan premis tersebut diumpamakan seperti ‘taman permainan’ bagi sesetengah individu terutamanya mereka yang menggemari kraf.
Menurut Eugene, asalnya premis yang dibuka enam tahun lalu itu membekalkan barangan pembuatan kraf.

Bagaimanapun kemunculan pelbagai kedai membekal barangan kraf di pasaran beberapa tahun kemudian menyebabkan dia mengambil keputusan untuk meningkatkan nilai tambah dengan memfokuskan barangan penjagaan diri.
“Saya mula memfokuskan kepada produk penjagaan diri dengan menjual bahan-bahan mentah bagi sesiapa yang ingin menghasilkan sendiri di rumah.
“Saya dapati dewasa ini ramai yang mengalami masalah kulit seperti ekzema dan alergi terhadap penggunaan sesetengah produk. Justeru penggunaan bahan berasaskan semula jadi lebih menjadi pilihan mereka.
“Melihatkan masalah tersebut, ia mencetuskan inspirasi kami untuk memfokuskan bentuk perniagaan yang boleh membantu orang ramai iaitu produk penjagaan diri,” katanya.
Tambahnya, dia menyedari tidak semua individu tahu kaedah pembuatan produk penjagaan diri biarpun proses tersebut tidaklah sesukar mana.
Malahan dia juga pernah didatangi beberapa orang pelanggan yang bertanya apakah yang boleh dibuat di premis tersebut kerana ingin mempelajari pembuatan kraf.
Berbeza di negara-negara luar terutamanya Amerika Syarikat yang mana penghasilan produk penjagaan diri berasaskan bahan semula jadi memang sudah lama popular dalam kalangan masyarakatnya.

Padahal aktiviti seperti ini bukan sahaja membolehkan individu mengawal setiap bahan yang diletakkan pada produk penjagaan diri mereka, tetapi juga sebagai salah satu kaedah menghilangkan tekanan dan menambah ilmu.
Situasi itu lantas mendorong Eugene dan isteri membuka kelas mini di satu sudut, Crafti Express bagi membolehkan orang ramai menimba ilmu pembuatan barangan penjagaan diri.
Antara barangan yang boleh dipelajari pembuatannya di premis tersebut ialah sabun mandi, lilin, pelembab bibir, losen, deodoran dan lain-lain lagi yang kesemuanya dihasilkan seratus peratus menggunakan bahan-bahan semula jadi.
Mahu memberikan yang terbaik dan menjadi rujukan terutamanya dalam usaha membantu individu yang mempunyai masalah kulit menerusi produk penjagaan diri, Weiyein sanggup mengambil diploma tambahan dalam bidang formulasi kosmetik dan semula jadi menerusi kursus online di Australia.
Bermula dengan kelas penghasilan sabun, individu kini berpeluang mempelajari lebih 20 barangan penjagaan diri dengan durasi masa antara 30 minit hingga satu jam bagi setiap sesi.
“Kami cuba mengekalkan keaslian bahan-bahan yang digunakan. Sebagai contoh, bagi asas pembuatan sabun, kami menggunakan bahan daripada cocoa butter, mango butter atau shea butter.
“Dengan menghasilkan barangan penjagaan diri sendiri, individu boleh mengelakkan penggunaan bahan-bahan tidak diperlukan seperti pewangi sintetik dan lain-lain lagi yang tidak baik untuk kulit.
“Mereka juga boleh menyesuaikan bahan-bahan yang ingin digunakan bergantung kreativiti dan keperluan penjagaan diri individu itu sendiri.

“Misi kami adalah mahu memberikan individu kebebasan dalam menghasilkan sendiri produk penjagaan diri dan memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa kesemua barangan itu boleh dihasilkan sendiri,” katanya.
Serendah RM15, individu boleh mempelajari kaedah penghasilan produk penjagaan diri mereka menerusi kelas mini yang dikenali sebagai Crafti Express.
Menggunakan bahan-bahan semula jadi tanpa pengawet, barangan tersebut mempunyai jangka hayat sama seperti produk lain iaitu kira-kira dua tahun.
Tambahnya, untuk barangan yang berasaskan bahan semula jadi, individu juga boleh mengenal pasti kerosakan satu-satu bahan dengan menghidu baunya.
“Ketika dunia dilanda pandemik Covid-19, ramai yang terkesan apabila kehilangan pekerjaan. Ada beberapa orang pelanggan yang datang ke sini bertanya apa yang boleh mereka buat kerana tidak tahu apa yang boleh dilakukan.
“Mereka mula mempelajari cara pembuatan lilin daripada kami. Amat terharu apabila hasil daripada perkongsian ilmu itu membolehkan mereka menjana pendapatan sendiri menerusi perniagaan yang dijalankan.
“Situasi ini biasa berlaku apabila mereka bukan sahaja menghasilkan produk untuk diri sendiri, tetapi juga dijual untuk berkongsi manfaat daripada produk semula jadi.
“Itulah antara momen yang paling tidak dapat dilupakan dan membuatkan saya terharu. Wang tidak dapat membeli pengalaman seperti ini,” ceritanya.

Pertama kali menyertai Crafti Express, Nur Amalina Daud, 36, teruja apabila berpeluang bereksperimentasi dan mengenali bahan-bahan utama dalam penghasilan produk penjagaan diri seperti sabun.
“Proses pembuatan sabun tidaklah sesukar mana. Kaedah ini sama sahaja seperti memasak iaitu dengan mengetahui asasnya sahaja, semuanya boleh dilakukan.
“Bagi saya, input seperti ini perlu diperbanyakkan kerana selain menambah ilmu pengetahuan dan menghasilkan sendiri sabun semula jadi, ia boleh dikatakan sebagai terapi terutamanya bagi wanita-wanita bekerjaya yang mahu melakukan sesuatu sebagai aktiviti bersendiri,” katanya.
Melihat minat masyarakat di negara ini terhadap produk penjagaan diri buatan sendiri, Eugene mengambil keputusan mengeluarkan crafti kit bagi membolehkan individu menghasilkan produk penjagaan diri seperti sabun dan pelembap bibir di rumah.

Biarpun masih baharu, namun kit tersebut berjaya membuktikan masyarakat kini berminat dengan produk penjagaan diri sebegitu apabila ia berjaya menembusi pasaran luar negara seperti Singapura dan Indonesia.















