PETALING JAYA – Pasangan yang gagal mendaftarkan perkahwinan mengikut peraturan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303).
Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, Seksyen 40 Akta 303 memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya terhadap pasangan yang melakukan kesalahan itu.
“Peraturan dan penggubalan undang-undang berkaitan pendaftaran pernikahan ini digubal untuk memastikan kelangsungan dan kebahagian sebuah keluarga.
“Ia juga bertujuan memastikan semua urusan pasangan berkahwin didokumenkan. Ini bagi mengelakkan permasalahan yang lebih besar melibatkan isu penjagaan, nafkah, status anak serta mewariskan harta,” katanya kepada Kosmo!.
Mohd. Na’im berkata, kerajaan bukan sahaja ingin melahirkan masyarakat Islam yang patuh kepada hukum syarak, tetapi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.
“Zaman sekarang banyak berlaku masalah sosial dan itu menunjukkan peri pentingnya pendaftaran perkahwinan,” ujarnya.

Berdasarkan data JKSM bagi tempoh 1 Mac 2020 hingga 31 Oktober 2021, seramai 7,823 pasangan telah membuat pengesahan pernikahan di mahkamah syariah seluruh negara.
Negeri yang mencatat jumlah tertinggi adalah Kelantan (1,635), diikuti Sabah (1,218) dan Selangor (1,181).
Di samping itu, beliau menyatakan Seksyen 12 Akta 303 memberi hak kepada mereka yang bernikah tanpa mengikut undang-undang untuk hadir ke mahkamah bagi membuat pengesahan perkahwinan.
Justeru katanya, pasangan yang bernikah di luar negara perlu berani menghadapi pihak mahkamah demi menjaga kebajikan anak yang bakal dilahirkan.
“Undang-undang membenarkan sama ada isteri atau suami yang tampil untuk membuat permohonan itu,” ujarnya. -K! ONLINE














