GEORGE TOWN – Seorang pemandu, Azhari Abd. Manaf, 43, mendedahkan, penggunaan alas kaki tambahan membuatkan dia hampir melanggar tembok selepas aksesori itu tersangkut pada pedal brek.
“Saya memasang alas kereta yang dipotong sendiri mengikut saiz kerana lebih murah bagi mengelak pelapik asalnya cepat kotor.
“Namun, ia mudah menggelongsor dan terlipat kerana tiada penyangkut pada lantai kereta seperti alas kaki asal yang disediakan pengeluar kereta,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Selain itu, Azhari turut mengakui dia menggunakan dummy seat belt buckle bagi mengelakkan sensor kereta mengeluarkan bunyi penggera ketika tali pinggang keledar tidak dipasang.
“Oleh kerana kereta saya daripada generasi baharu, alat penggera akan berbunyi sekiranya tidak mengenakan tali pinggang keledar di tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan.
“Bagi pemanduan jarak dekat, biasanya saya klipkan alat itu untuk hentikan bunyi yang agak menjengkelkan kerana tidak selesa memakai tali pinggang keselamatan walaupun sedar ia berbahaya,” katanya lagi.
Sementara itu, seorang pemandu wanita yang mahu dikenali sebagai Azma, 37, berkata, dia menggunakan seat belt stopper yang dijual berleluasa pada harga murah bagi melonggarkan ikatan tali pinggang keledar untuk keselesaan semasa memandu.
Malah katanya, ia juga bagi mengelakkan dirinya dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa jika tidak memakai tali pinggang keledar.
“Badan saya agak besar, seat belt stopper membuatkan saya lebih selesa terutama melibatkan pemanduan jarak jauh.
“Saya sedar penggunaannya bahaya kerana ia menghentikan fungsi tali pinggang keledar, namun saya tidak selesa kerana terlalu ketat.
“Pernah juga beberapa kali saya brek mengejut dan hampir terhantuk pada stereng, namun syukur tiada yang buruk berlaku kerana pada waktu itu saya memandu dalam keadaan perlahan” katanya baru-baru ini.
Difahamkan, seat belt stopper selain digunakan bagi keselesaan pemandu mengandung, ia juga menjadi pilihan pemandu yang bertubuh kecil dan genit bagi mengelakkan tali pinggang berkenaan ‘terjerut’ leher atau menghentak dada pengguna semasa brek kecemasan.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! mendapati, pelbagai aksesori tambahan untuk kereta dijual secara berleluasa di pasar raya, kedai perkakasan atau di platform online.
Menerusi tinjauan berkenaan, dummy seat belt buckle dijual pada harga antara RM2.50 hingga RM10.50, manakala seat belt stopper atau klip tali pinggang keledar dijual pada harga serendah RM2.90 sepasang sehingga RM11.30. -K! ONLINE














