BARU-BARU ini, Lexus Malaysia telah menawarkan penulis untuk memandu uji model sedan terbaharu mereka, ES250 varian F Sport.
Model ini bersaing dengan BMW 5 Siri, Mercedes Benz E Class dan Volvo S90. Kalau pesaing-pesaingnya ada varian AMG Line dan M Sport, model ini pula kini hadir dalam varian F Sport untuk pertama kali dalam pasaran Malaysia.
Bagi penulis, model ini tidaklah terlalu sporty, tetapi kemasan dan sentuhan karakter pemanduan secara keseluruhannya memberikan rasa yang memadai untuk membuat pemandu tersenyum sendiri sekali sekala.
Pengalaman memandu hampir satu minggu memberikan peluang penulis merasai pemanduan di lebuh raya, jalan dalam bandar dan jalan di kampung.
Persepsi awal penulis sebelum memandu pada mulanya tidak terlalu tinggi kerana model ini hadir dengan enjin 2.5 liter tanpa turbo dan menggunakan kotak gear lapan kelajuan automatik.

Namun, sebaik memandu ternyata enjin dan kotak gear itu memberikan respons yang baik dengan menghasilkan kuasa maksimum 204hp dan tork tertinggi 247Nm. Kadar pecutan dari pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya 9.1 saat.
Kuasa yang dihasilkan itu cukup untuk memandu secara sekata dengan selesa. Tork yang dihasilkan pula cukup sekiranya ingin memotong kenderaan lain. Sekadar makluman, tangki petrol ES250 F Sport ini bersaiz 60 liter.
Panjang keseluruhan kereta ini 4,975 milimeter (mm), manakala lebar 1,865mm tidak termasuk cermin sisi sekali gus agak mudah untuk dikendalikan di laluan sempit, apatah lagi model ini hadir dengan kamera 360 darjah. Memang amat membantu.
Antara ciri keselamatan menarik pada model ini seperti Lexus Safety System termasuk Front Precollision System, Dynamic Radar Cruise Control, Lane Keeping Assist, Automatic High Beam, Active Cornering Assist dan Vehicle Stability Control System.
Sebenarnya banyak lagi, tetapi penulis senaraikan sebahagian ciri-ciri keselamatan yang menarik ada pada model pandu uji kali ini.
Ciri-ciri ini sebenarnya membantu pemandu untuk memandu kereta seberat lebih 2 tan itu dengan mudah.

Masuk ke ruang kabin, jelas aura sporty kerana model ini menggunakan kombinasi tona warna merah dan hitam.
Berbanding varian Luxury yang lebih kepada kegunaan mereka yang menggunakan khidmat pemandu kerana ciri-ciri eksklusif di bahagian belakang, model ini lebih kepada pemandu.
Papan pemuka dengan skrin besar berukuran 12.3 inci pula boleh dikendalikan menggunakan pad sentuh (signatur Lexus) atau butang fizikal.
Panel meternya ala model LC500 yang mana perumah meter boleh bergerak dengan pilihan butang tiga mod pemanduan seperti Sport, Normal dan Eco.
Stereng juga boleh dilaras secara elektrik untuk keselesaan pemandu. Tempat duduk separa bucket dengan cop F Sport menambah seri untuk ruang hadapan kokpitnya yang sporty.

Pada bahagian tempat duduk belakang pula agak selesa dengan ruang kelegaan kaki yang luas memandangkan jarak antara roda ES250 F Sport ini berukuran 2,870mm.
Selain itu model ini turut hadir dengan bumbung suria yang turut ada pada varian Luxury. Ruang simpanan barangnya bersaiz 420 liter.
Bercerita mengenai bahagian luaran, bampar hadapan varian ini hadir dengan jeriji spindle seperti varian sama untuk model lain. Pada bahagian sisi pula, kereta ini menggunakan rim warna gelap saiz 19 inci dengan tayar 235/40. Selain itu, logo F Sport dilekatkan di bahagian dapra kiri dan kanan.
Bahagian belakang pula, varian ini hanya ditambah spoiler dengan warna badan.
Kesimpulannya, pada pandangan penulis jentera ES 250 F Sport ini sesuai untuk mereka yang suka memandu sendiri dan merupakan sebuah sedan dengan cita rasa tersendiri.














