PENULARAN pandemik Covid-19 yang masih melanda dunia pada ketika ini dikatakan kembali mengganas apabila virus itu yang bermutasi telah menyebabkan terhasilnya varian baharu.
Sehingga hari ini, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), varian terbaharu, Omicron telah tersebar ke 57 buah negara dan menyaksikan kes Covid-19 melonjak naik di negara-negara Afrika seperti Afrika Selatan, Eswatini, Zimbabwe, Mozambique, Namibia and Lesotho.
Di Afrika Selatan, kes Covid-19 menyaksikan peningkatan mendadak dalam tempoh singkat misalnya daripada 3,402 kes pada 26 November kepada 8,561 kes pada 1 Disember lalu.
Lantaran itu, banyak negara mengenakan larangan kemasukan warga negara-negara Afrika terbabit bagi membendung penularan Omicron.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat menyifatkan varian itu mempunyai tahap kebolehjangkitan lebih tinggi berbanding varian lain, namun belum dapat dipastikan jika ia lebih dahsyat daripada Delta.
AFP melaporkan, pihak berkuasa kesihatan Belanda menjelaskan, mereka mengenal pasti sekurang-kurangnya 13 kes Omicron dalam kalangan 61 penumpang penerbangan dari Afrika Selatan yang disahkan positif Covid-19.
“Siasatan masih belum selesai. Varian baharu boleh didapati dalam lebih banyak sampel ujian,” kata Ketua Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen. Beberapa agensi kesihatan juga meramalkan bahawa Omicron akan menjadi varian dominan di beberapa negara Eropah minggu depan.
Menelusuri kemunculannya, Omicron dikatakan mula bermutasi dari rantau selatan Afrika dan diklasifikasikan oleh WHO sebagai Variant of Concern (varian dibimbangi). Kes pertama varian itu mula dilaporkan di Botswana dan Afrika Selatan pada pertengahan bulan lalu.

Omicron merujuk kepada salah satu abjad Yunani bagi huruf O sebagaimana varian-varian dibimbangi sebelum ini misalnya Alpha, Delta dan lain-lain.
Dalam pada itu, Malaysia turut tidak terlepas daripada ‘dibolosi’ Omicron. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan kes pertama varian tersebut melibatkan seorang pelajar dari Afrika Selatan berusia 19 tahun pada 2 Disember lalu.
Menerangkan mengenai mutasi virus, Pakar Mikrobiologi Klinikal Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Saarah Huuerieyah Wan Rosli berkata, virus secara umumnya mempunyai sistem proofreading untuk memastikan virus baharu yang terhasil sewaktu pembiakannya mempunyai ciri yang sama dengan induk (ibu).
“Namun, bagi virus jenis RNA seperti koronavirus, sistem proofreading tidak begitu efisien menyebabkan kemungkinan virus baharu mempunyai ciri berbeza ekoran kesilapan semasa proses meniru susunan genetik virus induk. Perubahan pada susunan genetik inilah dinamakan mutasi,” jelasnya.
Tambahnya, perubahan itu juga boleh berlaku pada satu atau banyak tempat pada bahagian virus.
“Kebanyakan mutasi dikategorikan sebagai minor, manakala mutasi yang major boleh mengubah virus sama ada menjadi lebih baik, ganas atau sama tingkah laku dengan virus asal. Varian ialah terma merujuk kepada virus yang telah bermutasi dan berbeza daripada virus asal,” terangnya.
Katanya, mutasi virus berlaku semasa pembiakan virus yang berlaku di dalam badan seseorang yang dijangkiti.

“Apabila ramai yang dijangkiti, maka makin banyaklah replikasi virus berlaku, dan banyaklah kemungkinan berlakunya mutasi dan terhasilnya varian baharu,” katanya.
Dalam pada itu, Pakar Mikrobiologi Klinikal Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM, Prof. Madya Dr. Nurul Azmawati Mohamad berkata, bagi virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan jangkitan Covid-19, beberapa varian telah dikenal pasti antaranya Alpha, Beta, Delta dan yang terkini Omicron.
Menurutnya, varian-varian ini mempunyai mutasi di beberapa tempat, terutamanya di bahagian spike atau duri virus.
“Sebagai contoh, varian Delta mempunyai 17 mutasi, manakala varian Omicron mempunyai 50 bahagian yang bermutasi dengan 32 daripadanya melibatkan struktur spike.
“Spike adalah struktur penting virus yang membantu virus memasuki sel manusia melalui reseptor ACE-2. Mutasi pada spike menyebabkan kebolehjangkitan lebih tinggi kerana virus lebih mudah memasuki sel,” terangnya.
Tambahnya, spike juga adalah sasaran utama vaksin Covid-19. Apabila menerima vaksin, sistem imun akan menghasilkan sel memori dan antibodi terhadap bahagian spike virus.
Vaksin Covid-19 sedia ada mengguna pakai antigen atau kod genetik bahagian spike virus asal yang belum bermutasi.
Jelasnya, ini bermakna, antibodi yang dihasilkan oleh vaksin sangat berkesan terhadap virus asal. Namun, apabila seseorang dijangkiti virus varian, antibodi mungkin mengalami kesukaran untuk mengecam virus kerana terdapat perbezaan akibat mutasi.
Ini boleh menyebabkan peratus keberkesanan vaksin berkurang sebagaimana yang berlaku pada Delta.
“Bagi Omicron, keberkesanan vaksin masih dalam kajian, namun berkemungkinan besar ia juga berkurang. Oleh kerana jumlah mutasi spike bagi varian Omicron lebih tinggi berbanding Delta, kesan jangkitan Omicron dijangka menyebabkan kenaikan kes dan kematian yang mendadak,” jelas Nurul Azmawati.

Berdasarkan sumber WHO, tahap penularan dan kadar kebolehjangkitan varian baharu ini bagaimanapun masih dalam kajian.
Data-data daripada kajian dan penyelidikan amat diperlukan untuk menentukan sama ada Omicron ini lebih berbahaya daripada Delta dari segi kadar jangkitan, kemasukan ke hospital, tahap keterukan gejala dan juga kematian.
Pun begitu katanya, sehingga sekarang jangkitan Covid-19 oleh varian Omicron ini masih boleh dikesan dengan teknik pengesanan virus sedia ada iaitu Polymerase Chain Reaction (PCR).
“Dengan wujudnya pelbagai jenis varian, adakah vaksin masih relevan? Vaksinasi mengurangkan kadar jangkitan, maka mutasi kurang berlaku.
“Tidak dinafikan bahawa mereka yang divaksin juga boleh dijangkiti, namun antibodi yang dirangsang oleh vaksin mempercepatkan proses penyingkiran virus, jadi tidak banyak replikasi berlaku,” ulasnya.
Tambahnya, vaksin masih boleh memberi perlindungan dan mengurangkan risiko jangkitan teruk berbanding jika tidak mengambil vaksin.
Bagi yang tidak mengambil vaksin, mereka lebih berisiko untuk dijangkiti dan sistem imun memerlukan masa yang lama untuk bertindak balas.
Melihat kepada perkembangan semasa, Nurul Azmawati berpendapat formulasi baharu vaksin perlu dikeluarkan segera.
Beberapa syarikat sebenarnya telah mula menjalankan penyelidikan dan proses pembuatan dijangka tidak mengambil masa lama seperti ketika vaksin mula dikeluarkan.
“Vaksin Covid-19 dilihat akan menjadi seperti vaksin Influenza, di mana formulasi baharu dicipta setiap tahun berdasarkan varian yang mendominasi.
“Di samping itu, kita harus terus patuhi prosedur operasi standard dan berjaga-jaga kerana kita boleh mengurangkan kewujudan varian dengan sama-sama membantu kurangkan kadar jangkitan,” ujarnya.














