JARI-JEMARINYA begitu ligat menari di atas kanvas lukisan berwarna putih. Sekali sekala- pemilik nama Nur Amiratul Farahin Ab. Rahman, 24, menjeling ke arah kuntuman bunga yang berada di hadapannya.
Bermain dengan berus dan kanvas lukisan sejak kecil, bakat yang ada pada anak kelahiran Johor Bahru, Johor ini dapat dilihat menerusi karya-karya dihasilkannya yang banyak bertemakan pemandangan dan alam sekitar.
Biarpun alam baginya ‘kedengaran’ sepi kerana cacat pendengaran sejak dilahirkan ke dunia, namun lukisannya ternyata begitu hidup, halus dan indah sehingga berjaya mencuri perhatian umum.
Lantaran itu, tidak hairanlah jika gadis ini dipilih untuk mewakili negara ke Pertandingan Kemahiran Vokasional Abilimpik Antarabangsa ke-10 yang merupakan pertandingan berasaskan kemahiran umpama Olimpik untuk orang kelainan upaya (OKU) di Moscow, Rusia tahun hadapan.
Ia selepas gadis itu memenangi Pertandingan Abilimpik Peringkat Kebangsaan Kategori Lukisan di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan OKU (PLPP) Bangi pada tahun 2018.
Bagi pertandingan di peringkat antarabangsa tersebut, anak kedua daripada tiga beradik ini akan mempamerkan kemahirannya dalam lukisan fantasi dan bertemakan alam semula jadi.

Melihat kejayaan yang digapainya itu, jelas membuktikan biarpun dilahirkan sebagai individu cacat pendengaran, namun itu bukanlah alasan yang menghalang gadis ini untuk hidup sama seperti insan normal yang lain.
“Ini adalah kali pertama saya menyertai Pertandingan Peringkat Antarabangsa setelah memenangi Pertandingan Abilimpik Peringkat Kebangsaan Kategori Lukisan di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan OKU (PLPP) Bangi pada tahun 2018.
“Perasaan saya bercampur baur antara bangga dan terharu. Bagaimanapun, saya juga berasa gementar kerana tidak pernah menyertai pertandingan besar di peringkat antarabangsa seperti ini.
“Saya berazam untuk lakukan yang terbaik dalam pertandingan Abilimpik di Moscow dan membawa pulang kemenangan untuk Malaysia,” katanya kepada K2 melalui temu bual secara e-mel.
Sebelum kemenangan besar yang dicapainya pada tahun 2018 itu, Nur Amiratul juga pernah memenangi beberapa pertandingan yang disertainya seperti Johan Pertandingan Menulis Khat Kebangsaan pada tahun 2013 dan 2014 selain Johan Pertandingan Menulis Khat Negeri Johor 2013.
Dia juga pemenang Pertandingan Lukisan Bertema Pelancongan This is Pahang 2021.
Kata Nur Amiratul, penglibatannya di dalam dunia lukisan sejak kecil lagi hasil dorongan keluarga dan guru.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Indahpura, Kulai, Johor, dia kemudian meneruskan pengajian di Politeknik Ibrahim Sultan, Johor dalam bidang rekaan fesyen dan pakaian.
“Kehidupan saya semasa kecil sama seperti kanak-kanak biasa. Saya sangat minat bersolek, melukis dan mewarna.
“Sejak kecil, bapa saya menghantar belajar melukis di kelas lukisan swasta. Ia diteruskan di peringkat sekolah sehingga ke peringkat pengajian tinggi di politeknik yang mana saya belajar dalam bidang rekaan yang memerlukan kemahiran melukis,” jelasnya.
Bagaimanapun, katanya, jurulatih yang juga merupakan pensyarahnya di pusat pengajian tersebut, Nor Hidayah Halim merupakan individu yang bertanggungjawab membawanya jauh dalam mengejar impian.
Bermula dengan mengesan bakat yang ada pada gadis OKU tersebut, wanita itu mula mengatur latihan di Politeknik Ibrahim Sultan bagi menggilap lagi bakat yang ada pada Nur Amiratul sehingga berjaya memenangi tempat pertama di peringkat kebangsaan.
Kata Nur Amiratul, latihan tersebut masih diteruskan sehingga ke hari ini di Politeknik Ibrahim Sultan biarpun dia kini sudah menamatkan pengajian selain di Majlis Pemulihan Malaysia (MCR) sehinggalah dia berangkat ke Moscow pada tahun hadapan.
“Latihan diadakan dua kali seminggu dan perlu melalui peringkat demi peringkat dengan penggunaan pelbagai jenis media.
“Saya kini sudah memasuki fasa teknik-teknik di dalam lukisan,” tambahnya.

Gemarkan kecantikan, wanita dan alam, elemen-elemen tersebut sering dijadikan objek dan inspirasi dalam penghasilan karyanya.
“Saya sukakan kepada kecantikan, elemen wanita dan alam. Saya mendapat ilham daripada pemerhatian dan kajian saya melalui pembacaan dan carian di internet.
“Untuk menghasilkan karya yang baik, ia memerlukan masa, ketekunan dan kesabaran yang tinggi. Biasanya saya mengambil masa antara lima hingga lapan jam setiap hari untuk melukis.
“Bagi satu-satu lukisan pula, ia mengambil masa antara dua ke tiga hari untuk disiapkan,” ujarnya.
Menurutnya lagi, karya yang dihasilkan dijual pada harga serendah RM15 bergantung kepada bahan, saiz dan jenis lukisan yang dihasilkan.
“Jika saya buat karikatur dengan marker rendering harganya bermula dengan RM15. Sekiranya saya melukis potret menggunakan soft pastel pula harga yang dikenakan bermula dari RM200 dan ke atas.
“Biasanya lukisan yang menggunakan cat minyak berharga lebih mahal kerana bahan itu sendiri sudah cukup mahal. Ia boleh dijual sehingga RM1,000 bergantung kepada subjek yang diberikan,” kongsinya.
Akui kos bahan-bahan lukisan juga agak tinggi, gadis ini berkata, dia perlu bekerja keras untuk menghasilkan karya dengan cepat dan mempelbagaikan sumber pendapatan.
Disebabkan itu, bukan sahaja aktif berkarya pada kanvas lukisan, gadis ini juga mahir mengoles berus pada wajah manusia.
Selain bergerak secara bebas sebagai artis seni, Nur Amiratul juga aktif sebagai jurusolek sambilan.
“Semasa bersekolah di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Indahpura Kulai, saya mengambil kursus solekan dan dandanan rambut. Daripada situ saya belajar untuk menyolek dan kini saya mengambil tempahan di sekitar Johor Bahru.
“Begitupun disebabkan sibuk melukis, saya terpaksa menolak banyak tempahan solekan dan hanya sempat merias wajah enam orang pelanggan setakat ini.
“Selain itu, saya juga minat membuat biskut dan kek yang dipelajari melalui ibu. Pada masa ini, saya bekerja secara bebas jadi saya dapat membahagikan masa antara latihan Abilimpik, tempahan lukisan, solekan, biskut serta kek,” tuturnya.
Kekurangan yang ada pada dirinya menyebabkan gadis ini sering dilemparkan dengan kata-kata kurang enak. Bagaimanapun Nur Amiratul mengakui dia tidak pernah mengambil pandang lontaran kata tersebut sebagai sesuatu yang serius.
Sebaliknya, dia meneruskan hidupnya dengan apa yang sedang diusahakan bersama individu-individu berjiwa positif yang sentiasa memberi dorongan dan semangat buat dirinya.
“Ramai yang mahukan saya berjaya. Baik keluarga mahupun rakan-rakan dan pensyarah, disebabkan itu saya perlu sentiasa berusaha dengan gigih serta mencuba yang terbaik.
“Bagi saya, setiap insan tidak kiralah kelainan upaya atau biasa telah dianugerahkan kelebihan dan kekurangan masing-masing. Jadi kitalah yang mampu menjadikan kelebihan itu sebagai batu loncatan untuk berjaya selain terus berusaha memperbaiki kelemahan diri. Apa yang pasti, jangan mudah mengaku kalah supaya kejayaan diimpikan dapat digapai,” kongsinya.














