SHAH ALAM – Projek pembangunan yang dilaksanakan di lereng-lereng bukit meletakkan Ampang dan Pandan dekat sini sebagai kawasan berisiko tinggi dilanda tanah runtuh terutama dalam keadaan cuaca hujan tidak menentu ketika ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, kemungkinan itu adalah berdasarkan purata kes kejadian tanah runtuh yang sering berlaku di dua kawasan berkenaan.
“Kita (JBPM) sememangnya tidak mempunyai data yang khusus mengenai jumlah lokasi tanah runtuh di negeri ini.
“Namun, kawasan Ampang dan Pandan antara yang berisiko kerana terdapat pembangunan di kawasan lereng-lereng bukit,” katanya kepada Kosmo!.
Dalam kejadian terbaharu pada 17 September lalu, seramai 28 keluarga yang menetap di 19 rumah di Jalan Kemensah Heights, Ampang diarah mengosongkan kediaman mereka selepas berlakunya kejadian tanah runtuh.
Mengulas lanjut, kata Norazam, pihaknya akan melakukan rondaan di kawasan berisiko terutama ketika hujan lebat.
“Rondaan berkenaan akan dijalankan di sekitar lokasi kejadian yang berlaku sebelum ini.
“Semakan turut mendapati tiada sebarang kematian mangsa dilaporkan setakat ini,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau meminta semua penduduk sentiasa peka memastikan kawasan sekeliling kediaman terutama pergerakan tanah.
“Tanda runtuhan tanah itu antaranya batu-batu kecil jatuh, pokok di lereng berkeadaan condong atau ke bawah dan berlakunya aliran air.
“Jika melihat petanda itu, penduduk perlu terus melaporkan kepada pihak berkuasa bagi tindakan lanjut termasuk bersedia untuk berpindah,” katanya.
















